Sempadan negara dikawal ketat secara bersepadu

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Op Rintis sedang giat dilaksanakan membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) di seluruh negara bagi mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi pendatang asing tanpa izin (PATI) serta sebarang ancaman.

Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan bagaimanpun berkata, Op Rintis secara bersepadu itu yang akan berlagsung selama sebulan akan terus dioptimumkan oleh kedua-dua pasukan terbabit bagi memelihara sempadan negara selain usaha pihaknya membantu kerajaan mengurangkan jangkitan Covid-19.

- Advertisement -

“Operasi bersepadu ini telah dilaksanakan 16 Jun lalu dan akan berlangsung selama sebulan. Saya melihat kerjasama antara kedua pasukan keselamatan ini amat erat.

“Saya yakin sekiranya kita optimumkan untuk meningkatkan keupayaan operasi kedua-dua pasukan dalam memelihara sempadan negara dari diceroboh dan apa jua ancaman rentas sempadan dan dalam usha mencegah kemasukan PATI yang menjadi antara punca utama penularan wabak Covid ke negara kita dapat dibanteras,” Katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi di sekatan jalam raya (SJR) di Pasir Pekan, di sini hari ini. Turut hadir sama Timbalan Polis Kelantan, SAC Abdullah Mohammed Piah.

Dalam perkembangan lain Hafizuddeain berkata, dalam rangka Pasukan National Task Force (NTF) kesemua agensi turut digerakkan mengikut kepakaran masing-masing dalam konteks berkolaborasi untuk mengekang kemasukan dan berlaku pencerobohan.

Katanya, bagi mencapai kejayaan aspek maklumat perisikan dan mobiliti amat diperlukan, bagaimanapun kerajaan secara progresif membekalkan pelbagai aset dalam memperkasakan keupayaan pasukan untuk melaksanakan tugas.

Sementara itu, mengenai lawatannya di Kelantan selama tiga hari bermula semalam, beliau berkata operasi kawalan keselamatan di sempadan Kelantan-Thailand antara ATM bersama pelbagai agensi berkaitan berada pada tahap baik.

Malah, katanya dalam tempoh empat hari kebelakangan ini Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama agensi lain telah merampas pelbagai jenis barangan melibatkan jenayah rentas sempadan sehingga mencecah hampir RM900,000 dalam tempoh itu. – HARAKAHDAILY 20/6/2021

- Advertisement -