Sayangi ayahmu, tanpanya tiadalah kamu

Gambar hiasan
- Advertisement -

oleh Dr Muhamad Rafiqi Hehsan

Ayah menjadi unsur utama dalam sesebuah institusi keluarga yang harmoni. Tanpa seorang ayah, manakan mungkin terlahirnya anak-anak yang menginjak remaja. Ayah semestinya merupakan satu anugerah yang tidak ternilai dan berharga. Penat lelah mereka menjaga dan memelihara anak-anaknya tidak mampu dibayar dengan wang dan harta. Justeru, anak-anak perlu sedar akan tanggungjawab mereka untuk terus membalas budi agar tidak menjadi seperti pepatah “bagai kacang lupakan kulit”.

- Advertisement -

Islam meletakkan kedudukan seorang ayah di dalam ruang lingkup yang penting. Ayah merupakan ketua rumah tangga yang memimpin seluruh anggota keluarga. Ayah memiliki tanggungjawab penuh terhadap seluruh anggota keluarga dan akan dipertanggungjawab di atas kepemimpinnya. Seorang ayah yang beriman selalu mengusahakan rezeki yang halal bagi keluargannya meskipun dalam keadaan kesulitan. Tidak ada peluang sedikit pun untuk menghalalkan yang haram kerana rezeki tersebut akan menjadi bahan pertanyaan di akhirat kelak. Seorang ayah juga akan sentiasa memastikan kelangsungan hidup ahli keluarganya dengan memenuhi segala keperluan dan kehendak bersama.

Terdapat banyak kisah di dalam Al-Quran yang menceritakan tentang kisah-kisah antara seorang ayah dengan anaknya. Kisah-kisah tersebut dapat dijadikan contoh tauladan bagi para ayah dalam mendidik anak-anaknya. Antaranya kisah Nabi Nuh dengan anaknya ketika berlaku banjir besar dalam Surat Hud ayat 42 dan 43, kisah Nabi Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail berkisar tentang korban dalam Surah As-Shaffat ayat 102, Nabi Yaakub dengan anaknya tentang mimpi Nabi Yusuf dalam Surah Yusuf ayat 4, dan kisah Luqman beserta nasihat-nasihat kepada anaknya dalam Surah Luqman ayat 13 sehingga 19. Ini menunjukkan bahawa seorang ayah akan sentiasa menasihati, mendidik anaknya, dekat dengan anaknya dan juga selalu mendoakannya.

Bagi si anak, menjaga dan berbuat baik terhadap kedua ibu bapa adalah suatu kewajipan dan tanggungjawab anak-anak. Hukum berbakti kepada keduanya adalah wajib selagi mana tidak menyalahi syariat Islam. Semasa kedua ibubapa masih hidup, anak-anak perlu berlaku baik kepada mereka, berakhlak mulia, tidak meninggikan suara di hadapan mereka, serta membantu mereka daripada sudut kemampuan setakat yang mampu.

Imam Ibn al-Munzir telah menyatakan bahawa telah berlaku ijmak atas kewajipan diambil sebahagian daripada harta atau pendapatan anak untuk dinafkahkan kepada ibubapa yang tidak mempunyai pendapatan atau harta. Anak-anak juga perlu taat kepada mereka dalam perkara-perkara yang bukan maksiat dan tidak sesekali menderhakai mereka, selain sentiasa berdoa kebaikan kepada mereka.

Selepas kematian kedua ibubapa pula, tunaikan hutang-hutang yang wajib iaitu hutang dengan Allah SWT seperti puasa, haji, nazar dan sebagainya terlebih dahulu. Kemudian, anak-anak perlu melangsaikan hutang-hutang ibubapa yang telah pergi kepada manusia setakat yang mampu.

Sebagaimana berdoa kebaikan semasa mereka hidup, begitu jugalah sentiasa berdoa kebaikan kepada keduanya selepas mereka meninggal dunia. Ini kerana, doa seorang anak yang soleh kepada ibubapanya yang telah pergi merupakan amalan yang tidak terputus berdasarkan kepada hadith Nabi SAW. Sekiranya berkelapangan, anak-anak boleh menziarahi sahabat-sahabat kepada kedua ibubapa.

Islam amat menganjurkan umatnya untuk menyambung silaturrahim dengan sesiapa sahaja dan tidak terbatas hanya kepada sesama ahli keluarga. Jangan lupa untuk bersedekah untuk keduanya walaupun selepas ketiadaan mereka. Akhirnya, jangan dilupa untuk menunaikan dan memenuhi wasiat-wasiat ibubapa yang telah pergi dengan baik serta sempurna.

Kesimpulannya, seorang ayah merupakan anugerah yang istimewa buat setiap insan. Mereka layak untuk disayangi dan dicintai. Kasih sayang si ayah sejak kita kecil bagai menatang minyak yang penuh sehingga besar dewasa, tidak mampu sama sekali untuk dibalas dengan setimpal. Justeru, adalah menjadi kewajipan setiap anak untuk menjaga kedua ibubapa mereka dan memberi khidmat yang terbaik, tidak kira semasa hayat mereka atau selepas ketiadaan mereka. Kebaikan ini pasti akan dibalas kelak dengan syurga yang abadi.

Firman Allah SWT: Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah Al-Isra: 23)

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.” (Riwayat Muslim: 2551)

Abdullah Ibnu Masu’d bertanya kepada Rasulullah SAW, “Apakah amalan yang paling dicintai Allah SWT? Rasulullah SAW menjawab: Solat di dalam waktunya. Kemudian apa? Rasulullah menjawab: Berbuat baik kepada ibu bapa. Kemudian apa? Rasulullah SAW menjawab: Berjihad di jalan Allah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dr Muhamad Rafiqi Hehsan adalah Pensyarah Perubatan Pelatih (Anaesthesiology) di Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

- Advertisement -