Manfaatkan WhatsApp untuk berniaga atas talian

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli PAS mempunyai pelbagai kumpulan WhatsApp, atas nama PAS sahaja tidak kurang daripada 10 kumpulan seperti kumpulan di peringkat cawangan, kawasan, dewan, ahli usrah, naqib usrah, lajnah-lajnah dan bermacam-macam lagi.

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata, ini tidak termasuk kumpulan alumni sekolah dan universiti, adik beradik, kampung, taman, rakan pejabat, pesara dan lain-lain.

Katanya, walaupun kumpulan WhatsApp PAS ditubuhkan bagi menghubungkan ahli dan pemimpin di kalangan anggota parti agar arahan yang diberikan dapat disalurkan termasuk berita kematian dan berita ahli PAS yang ditimpa musibah dapat dihebahkan, namun begitu kumpulan itu juga perlu dimanfaatkan untuk menjana ekonomi ahli dan parti.

- Advertisement -

“Dalam erti kata yang lain ianya adalah 2 dalam 1 dan berfungsi sebagai serampang dua mata,” ujarnya dalam satu hantara di laman Facebook beliau, hari ini.

Menurutnya, ahli PAS dapat memasarkan barang jualan seperti barang keperluan harian antaranya barangan keperluan dapur, buah-buahan, sayuran, ikan, pakaian, makanan, kuih muih dan pelbagai barangan yang boleh dijual.

“Dalam erti kata lain, apa boleh jual jual (ABJJ). Secara tidak langsung pembeli yang sedia ada sudah menunggu di luar untuk membuat pesanan dan tambahan pula sebahagian pembeli luar juga adalah bukan daripada kalangan ahli PAS,” katanya lagi.

Beliau menambah, sifat ahli PAS pula sentiasa ditarbiah untuk membantu sesama ahli semaksimum yang boleh.

Katanya, mereka membeli barang dengan niat untuk membantu terutamanya sahabat yang menjual adalah salah seorang daripada aktivis parti.

“Dalam erti kata lain, berlakunya dua dalam satu iaitu barang yang dibeli dapat mereka perolehi dan sahabat pun akhirnya dapat dibantu.

“Kawasan saya di Bukit Gantang perniagaan atas talian di kalangan ahli PAS cukup aktif dan hasilnya, alhamdulillah jauh lebih baik jika dibandingkan dengan perniagaan secara offline,” ujarnya.

Menurutnya, perniagaan dalam talian dapat dilaksanakan dengan cepat, tidak membuang masa, ekonomik, mengurangkan lambakan barang di stok dan barang segar akan segera sampai hingga ke pintu rumah selepas selesai menerima tempahan daripada pembeli.

Justeru, katanya teknologi merupakan penghubung terbaik antara penjual dan pembeli dan ahli PAS perlu memanfaatkan sepenuhnya teknologi terutamanya aplikasi WhatsApp untuk berniaga atas talian bagi membantu meningkatkan ekonomi dan pendapatan ahli PAS.

Akhirnya, kata beliau penggunaan teknologi sahaja tidak mencukupi tanpa disiplin, komitmen dan kerjasama daripada ahli PAS dalam menjayakan agenda ini.

Tambahnya, hanya dengan disiplin, komitmen dan kerjasama erat daripada kalangan semua ahli PAS akan dapat merealisasikan hasrat murni itu dan aplikasi WhatsApp pada ketika ini merupakan antara medium yang terbaik dalam melaksanakan perniagaan berasaskan kepada teknologi. – HARAKAHDAILY 20/6/2021

- Advertisement -