Majlis doa selamat cetus kluster di Sandakan

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Sebanyak 25 kes positif Covid-19 dikesan setakat hari ini membabitkan Kluster Kampung Nelayan Tengah, Sandakan yang dicetuskan melalui penganjuran majlis doa selamat, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri mengenai Covid-19 berkata kes indeks bagi Kluster Kampung Nelayan Tengah itu melibatkan seorang wanita berusia 45 tahun yang dikesan positif di sebuah klinik swasta di Sandakan pada Rabu lepas (16 Jun).

- Advertisement -

“Kes indeks mengalami gejala demam dan insomnia sejak 11 Jun, saringan terhadap 45 kontak rapat mengesan 24 lagi kes positif manakala 21 masih menunggu keputusan sampel diambil,” katanya menerusi kenyataan di sini malam ini.

Beliau berkata satu lagi kluster baharu direkodkan hari ini ialah Kluster Jalan Bundusan di Penampang melibatkan pekerja kilang memproses makanan dan sembilan kes positif telah dikesan.

Masidi berkata kes indeks pekerja lelaki kilang berusia 43 tahun itu tidak mempunyai sebarang gejala dan dikesan positif melalui ujian saringan bersasar di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Taman Puri Warisan di sini, semalam.

“Berikutan kes indeks itu, majikan kilang tersebut melaksanakan ujian saringan di tempat kerja dan mengesan lapan lagi kes positif Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah pada hari ini ialah 163 menjadikan jumlah kumulatif 67,541 kes manakala jumlah kumulatif sembuh meningkat kepada 64,973 orang dengan kesembuhan 241 lagi pesakit hari ini. – BERNAMA

- Advertisement -