Kedah tangguh sidang Dun hingga Parlimen selesai

Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor
- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Kedah akan menangguhkan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) sehingga selesai Parlimen bersidang, kata Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor.

Berikutan itu juga pihaknya juga tidak berhasrat mengadakan persidangan itu secara maya atau hibrid dalam tempoh terdekat ini.

“Lazimnya persidangan Dun akan berlaku pada Julai atau Ogos tetapi kerana berdepan dengan kekangan penularan wabak Covid-19, ia tidak dapat dilaksanakan.

- Advertisement -

“Lebih-lebih lagi buat masa kini masih terikat dengan ordinan darurat yang tidak membenarkan persidangan Dun dilaksanakan,” ujar beliau, semalam.

Menurutnya lagi, ordinan darurat itu bukan sahaja tidak membenarkan Dun dan parlimen bersidang malah ia juga melibatkan Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) sepanjang tempoh itu.

Kenyataan itu sebagai maklum balas terhadap gesaan Pakatan Harapan (PH) Kedah agar persidangan Dun dibuka segera.

Melalui laporan media tempatan Jumaat lalu, PH negeri menggesa Sanusi agar menghadap Tuanku Sultan Kedah dengan kadar segera bagi memohon perkenan pembukaan semula persidangan Dun negeri.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan meneliti dan merujuk kepada format dan prosedur operasi standard (SOP) Parlimen terlebih dahulu sebagai panduan sebelum diadakan di peringkat negeri.

“Kita akan adakan sesi sidang Dun Kedah selepas Parlimen bersidang sama ada secara semuka atau maya, kita tunggu perkembangan semasa.

“Kemungkinan juga persidangan hanya melibatkan Adun-Adun dan pegawai kerajaan tanpa kehadiran pemerhati, tetapi diadakan secara langsung di laman Facebook rasmi kerajaan negeri,” tambahnya lagi.

Kali terakhir persidangan Dun Kedah diadakan adalah pada 15 hingga 19 November 2020 lalu yang melibatkan pembentangan Belanjawan Kedah 2021.

Ia dilaksanakan dengan mematuhi SOP ketat yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM). – HARAKAHDAILY 20/6/2021

- Advertisement -