Berjaya kuasai media maklumat akan menang

- Advertisement -

ALOR SETAR: Jentera penerangan khususnya media baharu digesa agar lebih bersedia dengan cabaran untuk menempuh era peperangan maklumat.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, siapa yang berjaya menguasai media maklumat, pihak berkenaan akan menang.

“Jentera media baharu khasnya perlu bersedia untuk menyerang dan menerang kepada musuh. Zaman sekarang ini adalah zaman untuk membentuk gelombang menonjolkan kebaikan Islam,” ujarnya ketika ucapan perasmian penutup Konvensyen Penerangan dan Media Baharu anjuran Lajnah Penerangan dan Media Baharu PAS Pusat, di sini, semalam.

- Advertisement -

Katanya lagi, para nabi terdahulu juga berhadapan dengan cabaran namun mereka dibekalkan Allah dengan mukjizat yang sesuai untuk zaman berkenaan.

Menurutnya, perkara yang sangat penting pastikan jangan berlaku kebocoran maklumat kepada musuh disebabkan kealpaan sendiri.

“Jaga jangan sampai maklumat atau rahsia bocor kepada musuh. Bila kita lalai, musuh boleh masuk menceroboh.

“Seperti peperangan fizikal, musuh akan berusaha dari setiap penjuru untuk menerobos dan menceroboh untuk mendapatkan maklumat,” pesannya lagi kepada para peserta program atas talian itu.

Oleh itu tegasnya, musuh akan berusaha masuk untuk mempengaruhi jentera atau tentera dan menjadikan mereka alat menyebar dakyah musuh.

Justeru itu tindakan perlu diambil untuk memastikan jentera mempunyai cukup senjata dan peralatan untuk memasuki medan pertempuran serta peperangan.

Sungguhpun begitu kata beliau, setiap gerak kerja perlulah bersesuaian dengan hala tuju parti serta selaras dengan kehendak pemimpin dan parti.

Beliau menggalakkan agar lantik petugas sepenuh masa (full time) untuk menyelaraskan semua perkara berkaitan.

Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air (KASA) itu juga mengingatkan para peserta agar berstrategi apabila berhadapan dengan berita-berita fitnah yang menjadi bahan serangan musuh.

“Petugas kita juga perlu ada skill tertentu apabila berhadapan dengan komen-komen biadab serta serangan fitnah dari musuh.

“Kalau mereka biadab, kita juga terpaksa jawab dengan cara tidak beradab. Guna bahasa yang sesuai dengsn bahasa mereka.

“Lawan musuh dengan senjata yang sesuai ikut zaman dan keadaan,” jelas Tuan Ibrahim.

Malah katanya di dalam Al-Quran juga terdapat beberapa surah yang menceritakan bagaimana Allah menggunakan istilah kasar kepada golongan yang biadab.

Beliau mengajak para pendengar mengingati kembali beberapa perkara menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

Kata Tuan Ibrahim, isu fitnah RM90 juta dimainkan musuh, sehingga berjaya melekat di pemikiran rakyat.

“Malah pada masa ini apabila PRU15 semakin hampir mereka dilihat sudah mula mengatur perancangan.

“Sekarang ini musuh menyerang individu agar reputasinya jatuh dan rakyat hilang kepercayaan terhadapnya,” ujarnya memberi ingatan.

Sehubungan itu, ujarnya dalam konteks media baharu, juga perlu ada jentera yang ditugaskan sepenuh masa untuk menjaga sempadan agar fitnah-fitnah seumpama itu tidak berjaya masuk menceroboh masuk.

Menurutnya lagi, kisah peperangan Ahzab boleh dijadikan contoh walaupun pertempuran itu secara fizikal bukannya alam maya.

“Di dalam peperangan itu diceritakan, para musuh bersatu untuk menentang Islam. Mereka datang dengan membawa pelbagai bendera.

“Tetapi apabila menyedari mereka gagal masuk ke kawasan tentera Islam kerana dikeliling parit maka mereka terus berusaha sedaya upaya di setiap sudut untuk masuk dan menyeberang,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 20/6/2021

- Advertisement -