Aidiladha: Polis Kelantan siap sedia lakukan rondaan

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR PUTEH:
Polis Kelantan bersiap sedia sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada bulan depan dengan melakukan rondaan di kawasan perumahan dan kampung bagi mengekang penularan virus Covid-19.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, SAC Abdullah Mohamad Piah berkata, lebih 4,000 anggota polis terbabit dengan operasi pencegahan Covid-19 bagi mempastikan penduduk tidak keluar daripada kediaman masing-masing, sepanjang perayaan itu.

Advertisement

Katanya kegiatan rentas daerah dan negeri tidak dibenarkan kecuali mendapat arahan baru daripada kerajaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui sempena tinjauan ke kawasan perumahan Seri Purnama di Kampung Nara yang dikenakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan  Diperketatkan (PKPD) bermula semalam sehingga 2 Julai depan.

Kampung berkenaan yang terdapat 236 penduduk daripada 48 keluarga mempunyai pelbagai latarbelakang diisytiharkan PKPD apabila 28 daripadaanya disahkan positif Covid-19. Turut hadir pada tinjauan itu Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, DSP Mohd Azmir Damiri.

Abdullah berkata, prosedur operasi standard (SOP) akan dikenakan sama seperti SOP pada sambutan Hari Raya Aidilfitri, mereka yang ingin rentas sempadan daerah dan negeri mesti mendapat surat kebenaran polis dengan memberi alasan kukuh saperti kematian saudara terdekat.

Mengenai pematuhan SOP peringkat negeri beliau berkata, 95 peratus rakyat Kelantan kini sudah mematuhinya hanya sebilangan kecil sahaja mereka yang masih enggan berbuat demikian.

Menurutnya polis akan mengesan jika terdapat mana-mana penduduk yang tinggal di satu-satu kawasan cuba melarikan diri apabila kawasan kediaman mereka diisytiharkan PKPD oleh kerajaan kerana takut dikuarantin.

“Perbuatan itu  boleh merebak kepada orang lain jika dalam diri mereka sudah  mempunyai gejala Covid-19 yang sepatutnya dikuarantinkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/6/2021