Vaksinasi, patuh SOP kunci ‘exit strategy’ krisis Covid-19

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

- Advertisement -

PERKHIDMATAN kesihatan awam, ekonomi dan sosial merupakan tiga skop utama dalam Pelan Pemulihan Negara yang merupakan satu strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik Covid-19.

Kerajaan telah merangka pelan ini dengan membuat pertimbangan sebaik mungkin bagi memastikan setiap keputusan yang diambil adalah untuk melindungi nyawa dan memastikan kelangsungan hidup rakyat.

Ia juga mengambil kira ancaman Covid-19 yang masih menular dalam komuniti dan bilangan kes aktif yang tinggi di hospital.

Pelan ini merupakan satu panduan yang dirangka secara berhati-hati berdasarkan data dan sains untuk membolehkan kita semua kembali kepada kehidupan harian biasa.

Menurut Pakar Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Malina Osman, ketiga-tiga entiti ini menyumbang bukan sahaja kepada tahap kesihatan tetapi juga status mental dan sosial seseorang.

“Maksudnya, bukan sahaja dapat merawat mereka yang dijangkiti Covid-19, tetapi sistem sekarang ini yang terhenti, yang mana semua pembedahan secara elektif tidak dapat dilaksanakan, (supaya) banyak kes-kes yang tidak dirawat dapat dipulihkan terlebih dahulu,” ujarnya.

Kesusahan yang kita sedang hadapi kini hanya boleh diselesaikan dengan cara mengembalikan negara kepada kehidupan harian biasa dan perkara itu memerlukan keseimbangan antara kesihatan dan kelangsungan ekonomi.

Pelan ini menjadi peta bagaimana kita akan menjaga keseimbangan untuk segera keluar daripada krisis yang sedang dihadapi.

Strategi terbabit merangkumi empat fasa dan akan membabitkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Setiap fasa pelan pemulihan itu berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

Indikator pertama ialah keadaan penularan Covid-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian.

Manakala, indikator kedua ialah keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di Wad ICU.

Akhir sekali, indikator ketiganya ialah tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Fasa pertama yang sedang dilaksanakan kini iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana keadaan bilangan kes Covid-19 harian adalah tinggi, sistem kesihatan awam di tahap kritikal dan kadar pencapaian vaksinasi yang masih rendah.

Berdasarkan unjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kes harian boleh mencecah 13,000 kes sekiranya PKP tidak dilaksanakan, sedangkan bilangan kes positif mula ke bawah 5,000.

Ini adalah satu data yang penting. Ia bermaksud langkah yang diambil oleh kerajaan menyelamatkan lebih 8,000 orang. Data ini menunjukkan strategi kerajaan sebenarnya berjaya.

Jika purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 4,000 kes, serta 10 peratus populasi telah menerima dua dos suntikan vaksin dan juga sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal termasuk kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana, kerajaan akan menimbang peralihan daripada fasa pertama kepada fasa kedua PKP.

Dalam fasa kedua melibatkan aktiviti ekonomi yang akan dibuka secara berperingkat dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80 peratus di premis.

Pendekatan senarai positif diteruskan iaitu hanya sektor yang tersenarai dibenarkan beroperasi manakala yang tidak tersenarai masih ditutup.

Senarai positif daripada Fasa 1 akan juga diperluaskan semasa Fasa 2 dengan menambahkan beberapa sektor seperti simen untuk memastikan kelangsungan pembinaan yang dibenarkan serta aktiviti peruncitan seperti barangan elektronik dan komputer bagi menyokong mereka yang bekerja dari rumah.

Akan tetapi aktiviti pembuatan, pembinaan, peruncitan dan perkhidmatan yang tidak disenaraikan dan kekal tidak beroperasi seperti pembuatan tekstil dan kedai perabot.

Selain itu, sebarang aktiviti sosial dan rentas negeri masih tidak dibenarkan.

Sekiranya nilai ambang purata kes harian Covid-19 tidak menurun ke paras 2,000 kes, peralihan fasa daripada fasa dua ke fasa tiga berkemungkinan besar tidak akan berlaku.

Tetapi, jika semua rakyat mampu memberikan kerjasama dalam usaha ‘exit strategy‘ ini, berita gembiranya nilai ambang ini dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir bulan Ogos 2021.

Di dalam Fasa Ketiga ini semua sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang tersenarai dalam senarai negatif, iaitu aktiviti yang berisiko tinggi menyebabkan jangkitan Covid-19 atau melibatkan keramaian.

Manakala, sektor ekonomi akan kekal dibenarkan beroperasi pada kapasiti 80 peratus seperti Fasa Kedua dan aktiviti sosial termasuk pendidikan dan sukan tertentu boleh mula dibuka secara berperingkat.

Selain itu, semua aktiviti pembuatan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada SOP dan had kapasiti.

Senarai negatif Fasa 3 yang tidak dibenarkan beroperasi merujuk kepada aktiviti berisiko tinggi kerana melibatkan keramaian seperti penganjuran konvensyen dan di mana penjarakan sosial tidak dapat diamalkan seperti pub, spa dan salon kecantikan.

Kelonggaran kepada had kapasiti akan dipertimbangkan untuk membolehkan syarikat beroperasi sepenuhnya setelah pekerjanya telah divaksinasi.

Berita gembira buat para pembangkang, di dalam Fasa Ketiga ini Sidang Parlimen boleh diadakan sekitar bulan September atau Oktober dengan mengikut SOP yang ketat.

Pastinya Sidang Parlimen yang ditunggu-tunggu bagi membincangkan hal-hal rakyat terutamanya dalam usaha membantu golongan yang terkesan akibat pandemik ini.

Berdasarkan unjuran pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, peralihan ini dijangka dapat dilaksanakan seawal akhir bulan Oktober 2021.

Fasa Keempat adalah fasa terakhir di dalam pelan ini yang mana akan dilaksanakan sekiranya purata kes harian Covid-19 menurun ke paras bawah 500 kes, sistem kesihatan awam berada di paras selamat termasuk kadar penggunaan katil di ICU di paras mencukupi, dan 60 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Semua sektor ekonomi akan dibuka, lebih banyak aktiviti sosial akan dibenarkan, perjalanan rentas negeri dibolehkan dan pelancongan domestik juga akan dibuka tertakluk kepada SOP yang ketat.

Fasa ini dapat dilaksanakan apabila bilangan kes Covid-19 adalah rendah, sistem kesihatan awam di tahap selamat dan program vaksinasi telah mencapai tahap imuniti berkelompok atau herd immunity selewatnya pada akhir tahun ini.

Oleh yang demikian, menurut Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, semua pihak perlu menyokong Pelan Pemulihan Negara ini dengan mendaftar dan mengambil suntikan vaksin Covid-19 kerana ia merupakan strategi kerajaan sebagai ‘jalan keluar’ daripada pandemik Covid-19.

Hal itu turut senada dengan pandangan Pensyarah Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof yang menyifatkan pelan berkenaan amat jelas dan boleh dijadikan sandaran kerajaan untuk mencapai pemulihan dari cabaran pandemik itu.

Katanya, kejayaan pelan itu amat bergantung kepada kerjasama rakyat dalam mematuhi peraturan yang ditetapkan, selain faktor sampingan seperti varian baharu COVID-19 serta tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) orang ramai.

Sementara itu, Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri pula melihat sasaran pelan pemulihan berkenaan yang membabitkan pembukaan penuh semua sektor pada jangkaan seawal November atau Disember amat bersesuaian dengan situasi semasa negara.

Bagaimanapun, katanya, tempoh empat bulan mendatang iaitu dari Julai hingga Oktober akan menentukan sama ada pelan itu mampu mengembalikan atau tidak kehidupan normal rakyat atau sekurang-kurangnya dengan kelonggaran pelbagai SOP.

“Pelan yang dirangka ini adalah sesuai dengan jangka masa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang menyasarkan kita mencapai imuniti kelompok namun saya rasa ia boleh ditambah baik dengan penyelarasan pelbagai program bantuan kewangan untuk rakyat terjejas.”

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha, berpendapat empat fasa dalam Pelan Pemulihan Negara sangat penting untuk negara memandangkan terdapat banyak perkara yang perlu diselesaikan secara teratur.

“Pandangan saya, pentingnya fasa ini kerana perkara yang hendak diselesaikan ini perkara besar, secara logiknya perlu bertahap untuk tempoh pemulihan.”

“Untuk mencapai imuniti berkelompok sehingga 80 peratus memerlukan masa namun perlu diakui proses vaksinasi perlu disegerakan dan soal pemulihan ekonomi juga perlu dipercepatkan.”

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata pelan itu akan banyak membantu dalam melaksanakan langkah pemulihan kerajaan negeri itu.

Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan Sabah akan memberikan kerjasama penuh bagi memastikan pelan itu dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Dapat disimpulkan di sini bahawa kadar vaksinasi dan kepentingan menjaga prosedur operasi standard (SOP) merupakan kayu ukur bagi memastikan peralihan setiap fasa di dalam pelan berkenaan.

Di samping sistem kesihatan awam yang semakin ‘pulih’ daripada jumlah ‘tahanan’ pesakit Covid-19. – HARAKAHDAILY 19/6/2021

- Advertisement -