RMK12 ambil kira situasi pasca Covid-19

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN Foto RIZAL TAHIR

- Advertisement -

JELI: Laporan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) mengambil kira semua faktor khususnya berkaitan keadaan pasca Covid-19 termasuk Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang perlu dinilai perkembangan semasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Dato’ Seri Mustapa Mohamed berkata setakat ini laporan mengenai RMK12 sudah hampir selesai sepenuhnya.

“Dianggarkan 97 peratus laporan berkaitannya hampir siap dan akan dibentangkan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat.

“RMK12 sudah pasti akan mengambil kira semua keadaan Covid-19, pasca Covid-19 dengan normal baru serta PPN dan semua ini akan termasuk dalam RMK-12,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan Program Outreach Vaksinasi di Pejabat Ahli Parlimen Jeli hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan ulasan Koordinator Penyelidik Research for Social Advancement (Refsa) Fakhrurrazi Rashid semalam, yang berpendapat PPN perlu dijadikan sebahagian daripada RMK-12.

Mustapa berkata setiap strategi dilaksanakan kerajaan telah dibincang secara teliti walaupun ada beberapa pihak yang menyatakan PPN dilihat seakan ‘separuh masak’ atau tidak membawa perubahan besar untuk memulihkan negara.

Sehubungan itu, beliau memohon semua pihak dan rakyat bersabar di samping memberi kerajaan sedikit masa dalam memastikan PPN berjaya mencapai matlamat yang menggariskan tiga indikator ambang utama.

Katanya, keadaan sekarang memberi tekanan yang besar kepada kedudukan negara terutamanya aspek kewangan dan kesihatan.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pelan Pemulihan Negara: Peralihan Fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Setiap fasa berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya. – HARAKAHDAILY 19/6/2021

- Advertisement -