PPV di masjid beri kefahaman komuniti Islam tentang vaksin

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pencapaian ‘Herd Immunity’ (Imuniti berkelompok) merupakan kunci yang penting bagi mengekang penularan Covid-19 di negara ini.

Justeru, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dato’ Ahmad Amzad Hashim bahawa, kerajaan berusaha meningkatkan kuantiti vaksinasi dengan mempelbagaikan kaedahnya.

“Selain kita ada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam, kita ada PPV IPT (Institusi Pengajian Tinggi) dan di Terengganu ini, kita telah mulakan PPV UniSZA (Universiti Sultan Zainal Abidin). Kita juga mahu menggerakkan segera unit-unit mobil untuk masuk ke kawasan-kawasan pengalaman.

- Advertisement -

“Saya juga diarahkan oleh Menteri MOSTI (Khairy Jamaluddin) supaya memulakan inisiatif PPV Masjid. Ini PPV yang tersusun dengan penglibatan sepenuhnya NGO (Badan Bukan Kerajaan) iaitu Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Terengganu.

“PAPISMA ini mempunyai sukarelawan yang begitu ramai. Contohnya, untuk PPV Masjid At-Taqwa Durian Burung, yang pertama seumpamanya di Malaysia.

“Ianya melibatkan doktor-doktor pakar yang sangat senior dalam bidang perubatan. Hari ini sahaja, kita ada 10 tenaga pakar dan 30 doktor-doktor perubatan biasa dan penglibatan sepenuhnya NGO-NGO lain untuk membantu melancarkan perjalanan PPV hari ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sedang medianya selepas Pelancaran Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Masjid At-Taqwa Durian Burung, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKNT), Dr Nor Azimi Yunus dan Pengerusi PAPISMA Terengganu, Dr Zuraizi Jaafar.

Menurutnya, JKNT juga merupakan negeri paling tinggi mencatatkan penggunaan vaksin di Terengganu sekaligus akan mempercepatkan pencapaian 80 peratus imuniti berkelompok.

“Kita menjangkakan lebih banyak dos vaksin akan diterima pada bulan Julai, Ogos akan datang, dan ditambah pula ada lagi vaksin yang akan diumumkan pemberiannya oleh negara China dan Jepun, yang mahu menyumbang kepada kita (Malaysia),” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu menjelasnya, PPV Masjid ini merupakan projek perintis sebelum dikembangkan ke seluruh negara.

“Hari ini, baharu di peringkat perintis tetapi di dalam pembentangan di negeri Terengganu, yang telah dibuat oleh JKNT, ia mensasarkan 16,000 suntikan setiap bulan.

“Kita mensasarkan mungkin di setiap daerah akan ada satu atau dua PPV Masjid bagi kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk. Di daerah Kuala Terengganu kita boleh buat dua. Ini akan diumumkan kemudian bergantung kepada perancangan bekalan vaksin yang diterima dengan Jabatan Kesihatan.

“PPV Masjid ini akan dikembangkan ke seluruh negara terutama sekali di kawasan-kawasan orang Melayu dan agak di pedalaman.

“Ini kerana, masjid amat dekat di hati umat Islam. Sebelum ini, kita berhadapan dengan masalah antaranya, berhubung dengan dakyah negatif tentang vaksin yang dikatakan vaksin ini agenda musuh Islam,” ujarnya.

Menurut Amzad, pendekatan PPV Masjid juga sedikit sebanyak akan menimbulkan minat dan kefahaman kepada komuniti yang dekat dengan masjid.

Sehubungan itu, katanya PPV Masjid di Terengganu lebih tersusun dan akan diperkenalkan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi menghindari tomohan pihak tertentu.

“Hari ini satu detik yang sangat penting menjadi mercu tanda dalam usaha menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, dengan mempelbagaikan kaedah bagi meningkatkan kuantiti suntikan.

“Saya berterima kasih kepada dan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) kerana terlalu banyak kerjasama dan bantuan bagi menjayakan program yang sangat penting ini.

“PPV Masjid yang seumpama ini pertama di Malaysia dan dijalankan sepenuhnya oleh sukarelawan. NGO terlibat hari ini daripada yang melakukan suntikan, yang tolong kawal pergerakan semuanya tidak berbayar, percuma.

“Mereka tidak ada elaun harian pun tetapi mereka secara sukarela atas dasar rasa keprihatinan dan tanggunguawab untuk membantu negara, mereka sanggup bertugas secara percuma,” tegasnya.

Menurutnya, usaha mencapai 80 peratus imuniti berkelompok di tiga negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan sebelum penghujung Oktober, bagi mengelakkan berdepan dengan keadaan banjir monsun. – HARAKAHDAILY 19/6/2021

- Advertisement -