PAS Sabah bantu kempen vaksinasi Covid-19

- Advertisement -

Oleh HADJABAL ABU SAINI

SANDAKAN: PAS kawasan di Sabah telah menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi membantu kerajaan menggiatkan program vaksinasi Covid-19 yang melibatkan orang awam.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Sahar Abdul Majid yakin pihaknya dapat membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendaftarkan lebih ramai penduduk yang layak menyertai program itu.

Beliau selaku Yang Dipertua PAS Sandakan menyatakan demikian ketika membuat kunjungan hormat ke Pejabat Kesihatan Daerah Sandakan di Wisma Persekutuan, Batu 7 dekat sini, bagi menyelaraskan tindakan tersebut, semalam.

- Advertisement -

“Di daerah ini, tiga kawasan bergabung iaitu PAS Sandakan, PAS Batu Sapi dan PAS Libaran yang melibatkan tiga parlimen,” jelasnya yang juga Ahli Majlis Perbandaran Sandakan.

Hadir sama dalam kunjungan tersebut ialah Ketua Muslimat PAS negeri, Norsah Bongsu, Ketua Penerangan Pemuda PAS negeri, Mustaman Mustain dan Pengarah Jabatan Amal Malaysia Negeri Sabah, Masru Mustaqem.

“PAS juga menubuhkan jawatankuasa yang sama di daerah lain di seluruh Sabah bagi menjayakan usaha berkenaan,” jelasnya.

Menurutnya, ini memandangkan penglibatan rakyat di negeri ini masih sedikit dengan program tersebut.

Pegawai Penerangan Pendidikan Kesihatan daerah, Joumil Ikim ketika mengulas perkara berkenaan menyatakan penghargaan dan menyambut baik bantuan yang dihulurkan oleh PAS kepada pihaknya.

Beliau yang mewakili Pegawai Kesihatan Sandakan, Dr Johari Awang Besar dalam pertemuan itu mengharapkan lebih ramai pihak tampil menghulurkan bantuan yang sama agar daerah ini dapat mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun.

“Saya mengambil kesempatan menyeru orang ramai untuk melibatkan diri dalam program ini memandangkan data menunjukkan hanya kira-kira 40,000 yang sudah menyertainya daripada populasi Sandakan yang mencecah 500,000 orang,” ujarnya.

Terdahulu, klinik-klinik kesihatan luar bandar di Sandakan seperti Klinik Kesihatan Sungai Manila Sandakan dan Klinik Kesihatan Ulu Dusun dalam Parlimen Libaran dilaporkan telah mula menjalankan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sejak minggu lalu.

Sementara itu, jumlah pemberian vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Sandakan juga ditingkatkan sehingga 800 penerima sehari yang juga melibatkan penambahan di PPV Dewan Libaran bagi menggiatkan lagi kempen itu. – HARAKAHDAILY 19/6/2021

- Advertisement -