DUN Batu Buruk agih bantuan fasa keempat

- Advertisement -

Oleh AKID HAFRIZ

KUALA TERENGGANU: 2,000 pek bantuan makanan asas telah diagihkan kepada masyarakat yang terjejas pendapatan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk bagi agihan fasa keempat.

Bantuan tersebut diagihkan melalui kesemua 36 buah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam DUN Batu Buruk.

“700 pek daripada jumlah bantuan tersebut telah diagihkan lebih awal kepada kawasan di Mukim Bukit Besar yang termasuk dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan 12 buah JPKK.

- Advertisement -

“Manakala selebihnya diagihkan pada hari ini,” kata ADUN Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi ketika ditemubual oleh pemberita.

Menurutnya lagi, sejurus Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT 3.0), Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk telah menyusun bantuan untuk disalurkan secara berperingkat.

ADUN Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi sedang membantu memunggah pek bantuan makanan daripada lori untuk diagihkan kepada rakyat di DUN Batu Buruk yang terjejas sejak PKP dilaksanakan.

“Pada fasa pertama, kita telah agihkan sebanyak 2,000 kilogram ikan kepada masyarakat yang terjejas.

“Manakala fasa kedua sebanyak 900 pek bantuan makanan asas telah diagihkan.

“Fasa ketiga pula, kita telah agihkan sebanyak 1,100 ekor ayam kepada mereka yang terjejas pendapatan,” tambahnya lagi.

Beliau juga berharap agar bantuan yang disalurkan ini dapat meringankan beban rakyat yang terkesan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Bantuan ini tidak terhenti setakat ini dan akan diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya lagi.

Selain itu, beliau menasihatkan agar masyarakat kekal berada di rumah sekiranya tiada keperluan untuk keluar dan menjaga keselamatan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sekiranya berada di luar rumah. – HARAKAHDAILY 19/6/2021

- Advertisement -