Bakul makanan bantu penjaja kecil terkesan PKP 3.0

- Advertisement -

KUALA KRAU: ADUN Jengka, Ustaz Shahril Azman Abdul Halim telah menyampaikan sumbangan berupa bakul makanan buat 60 peniaga dan penjaja di bawah Gabungan Peniaga dan Penjaja Melayu Malaysia (GAPEMA).

- Advertisement -

Sumbangan tersebut telah diserahkan melalui Pengerusi GAPEMA Negeri Pahang, Rohani Mamat dalam satu majlis penyerahan ringkas yang telah diadakan di Bandar Jengka, di sini semalam.

Pemberian ini sebagai tanda keprihatinan dan merasai bersama ujian ketika ini di mana rata-rata peniaga dan penjaja terbabit turut terjejas sumber pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini.

“Kami mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Ustaz Shahril yang prihatin dengan peniaga yang sememangnya menghadapi masalah kewangan akibat tidak dapat menjalankan perniagaan sepanjang tempoh PKP 3.0 ini,” ujar Rohani.

Ustaz Shahril merangkap Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krau berharap semoga pemberian sumbangan bakul makanan kepada golongan yang terkesan dengan PKP 3.0 ini dapat meringankan sedikit beban dalam perbelanjaan mereka sepanjang PKP 3.0 ini.

Sejurus selepas penyerahan sumbangan bakul makanan, Ustaz Shahril pergi meninjau keadaan para penjaja di sekitar Bandar Jengka untuk bertanya khabar dan memberi dorongan untuk terus bertahan.

Ustaz Shahril ketika ditemui menyatakan penghargaan kepada pihak Majlis Daerah Maran yang telah menurunkan kadar sewa tapak kepada penjaja sepanjang tempoh PKP 3.0 ini yang mana kadar RM14 telah dikurangkan separuh harga.

Jelas kegembiraan salah seorang peniaga tepi jalan berhampiran Bank Islam Bandar Jengka apabila ditanya tentang kadar sewa tapak yang telah dikurangkan.

“Ya, sekarang harga (sewa tapak) dah RM7 dan mungkin nampak sikit tapi sangat membantu untuk kami peniaga kecil ni,” luah Mohd Naim Ibrahim, 28 tahun. – HARAKAHDAILY 19/6/2021

- Advertisement -