Ahli PAS disaran manfaat Harakah kongsi maklumat penerangan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli dan penyokong PAS hendaklah memperbanyakkan perkongsian bahan-bahan penerangan dari Harakah dan HarakahDaily serta media online yang lain milik parti itu.

Langkah itu bagi membolehkan mesej penerangan PAS di bawa keluar ke khalayak awam selaras dengan aspirasi dan iltizam untuk menjadi ejen penerangan yang berkesan selaras dengan konsep semua ahli adalah ejen penerangan.

Perkara itu digariskan sebagai resolusi sempena Konvensyen Lajnah Penerangan dan Media Baharu 2021 yang diadakan secara atas talian hari ini dan semalam.

- Advertisement -

Konvensyen itu dihadiri oleh pimpinan PAS dan petugas Penerangan dan Media Baharu melalui aplikasi webinar Zoom.

Menurut Sekretariat Konvensyen Penerangan dan Media Baharu 2021 resolusi juga menetapkan tindakan bersepadu semua jentera penerangan berasaskan pengarahan dari semasa ke semasa.

Turut ditekankan pengurusan informasi yang bersistem, penyaluran isu-isu semasa dan penyelarasan gerak kerja penerangan dengan pelbagai organisasi dalam parti serta pelbagai kelompok masyarakat.

“Program penerangan isu-isu semasa perlu diperbanyakkan, di samping mempromosikan kejayaan Kerajaan Kelantan, Terengganu dan Kedah serta Kerajaan Persekutuan melalui pelbagai platfom media dan di semua peringkat parti dan juga kelompok masyarakat di negara ini,” demikian menurut sekretariat tersebut.

Menurutnya juga ilmu dan kemahiran komunikasi era siber perlu dikuasai secara cepat dan menyeluruh bagi mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Perasmian penutup konvensyen tersebut disempurnakan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man petang ini. – HARAKAHDAILY 19/6/2021

- Advertisement -