Siri 1: Apa perlu anda buat sekiranya menerima saman?

- Advertisement -

MAKSUD saman sivil?

Saman sivil terdiri daripada pelbagai isu (kausa tindakan). Ada saman fitnah, saman tidak bayar hutang, saman pencerobohan, kecuaian dan sebagainya. Kes sivil berbeza dengan kes jenayah. 

Dalam kes jenayah, pesalah akan ditangkap, dan dituduh di mahkamah oleh pendakwa raya. Pesalah akan lantik peguam untuk membela. Peguam tersebut dipanggil peguam bela. 

- Advertisement -

Saman sivil pula membabitkan 2 pihak bertelagah. Yang menyaman dipanggil plaintif. Yang kena saman dipanggil defendan.

Saman sivil yang difailkan oleh plaintif akan diserah kepada defendan, untuk defendan hadir dan jawab isu yang ditimbulkan.

Apa perlu buat jika terima saman sivil?

3T
1. Tenang.
2. Teliti.
3. Tanya.

1. Tenang.

Jangan menggelabah sekiranya menerima saman sivil. Ia belum bermaksud anda sudah bersalah. Ia bermaksud anda diberi peluang untuk jawab isu yang ditimbulkan.

Plaintif mungkin buat tuduhan anda memfitnahnya, anda berhutang dengannya, anda menceroboh tanahnya, namun plaintif perlu buktikan tuduhan tersebut berdasarkan keterangan dokumen atau saksi. Tenang!

2. Teliti.

Saman adalah dokumen mahkamah yang biasanya panjang dan penuh perincian. Teliti satu persatu kandungannya. Benarkah fakta yang dicatat?

Buat nota ringkas mengenai jawapan anda, dan versi fakta anda. Buat kronologi cerita. Ia akan memudahkan peguam anda jika anda menggunakan khidmat peguam nanti.

3. Tanya.

Tanyalah orang yang berpengalaman apa perlu dilakukan. Ataupun terus berjumpa dengan peguam. Peguam akan menasihati sama ada:

a. Jika isu yang dibangkitkan itu benar dan sukar dinafikan, untuk cari jalan penyelesaian di luar mahkamah; atau

b. Jika isu yang dibangkitkan itu tidak benar, untuk lawan di mahkamah.

Peguam akan menyusun strategi terbaik untuk anda. Mereka adalah profesional terlatih. Anda boleh mewakili diri sendiri tetapi dalam banyak keadaan, ia terbukti sangat menyukarkan. 

Fahami 3T – Tenang, Teliti dan Tanya. Insya-Allah, ini adalah kit pertolongan cemas awal sekiranya anda menerima saman.

“Anda patuh undang-undang, andalah jaguh yang menang”

YUSFARIZAL YUSSOFF – HARAKAHDAILY 18/6/2021

- Advertisement -