Sertai Covax satu langkah terkehadapan

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil langkah kehadapan melalui penyertaan Program Perkongsian Vaksin Global (COVAX) dengan menyalurkan 10 peratus bantuan kewangan daripada jumlah jangkaan tempahan vaksin negara.

Meskipun pada ketika itu, kebarangkalian penghasilan vaksin masih samar, namun kerajaan bertindak proaktif mencari penawar wabak berjangkit berkenaan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, langkah itu memberi gambaran bahawa kerajaan komited untuk menangani pandemik Covid-19.

Advertisement

“Pada hari ini, ada negara yang masih belum menerima vaksin kerana mereka tidak berada dalam COVAX, tetapi kerajaan kita berpendirian jauh, yang mana orang tidak bercakap lagi mengenai vaksin tetapi kerajaan telah mengambil tindakan yang tepat dengan pantas apabila menyertai gabungan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program ‘Anda Tanya, KZ Jawab yang bersiaran secara langsung melalui Facebook rasminya, malam tadi.

Rabu lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ria’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar angka jangkitan wabak Covid-19 dapat dilandaikan dengan segera.

Baginda turut berpandangan vaksinasi merupakan satu-satunya exit strategy bagi mengawal penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Rentetan itu kata Kamaruzaman, titah Agong tersebut merupakan satu penegasan daripada baginda bahawa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) perlu dijayakan segera kerana vaksinasi adalah jalan keluar kepada pandemik berkenaan.

“Dan hari ini kita telah mendapat vaksin yang banyak dimana pihak MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) mengumumkan untuk menjayakan agenda 200,000 suntikan vaksin sehari dan usaha itu berjaya direalisasikan,” katanya.

Sehubungan itu, usaha serta kempen vaksinasi giat dijalankan di negeri-negeri Pantai Timur dengan menjadikan tempat-tempat awam sebagai pusat suntikan vaksin.

“Kalau kita di Kelantan dan Terengganu, PAS dan wakil-wakil rakyat telah mempelbagaikan usaha untuk menjayakan agenda vaksin ini dengan menjadikan masjid serta dewan orang ramai sbg pusat suntikan vaksin,” katanya.

Disamping itu katanya, beliau dimaklumkan pihak kerajaan akan mengadakan unit suntikan vaksin bergerak (mobile vaccine) bagi menjayakan lagi program vaksinasi tersebut. – HARAKAHDAILY 18/6/2021