PSR: Hari esok tidak pasti buat nelayan

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

RIBUT seketika mengenai isu projek tambakan laut di Selatan Pulau Pinang (PSR) kebelakangan ini, begitu juga nelayan di laut yang kini terpaksa menghitung waktu bila ribut akan menyerang mereka di laut.

Nelayan Selatan Pulau Pinang, Azlan Yusoff, 45 tahun ketika ditemuramah Harakahdaily berkata, kini beliau tidak mampu mengaut hasil laut dalam tempoh yang lama akibat musim ribut.

Beliau hanya mampu berada di permukaan laut itu selama dua hingga tiga jam dan berpatah balik ke daratan apabila melihat angin dan ribut bakal mengunjung tempatnya mencari rezeki.

- Advertisement -

Ditanya mengenai projek PSR, kata Azlan, beliau buntu dengan keputusan kerajaan negeri yang memutuskan untuk terus melaksanakan projek pulau buatan itu, dalam masa sama keliru dengan apa yang berlaku.

Kata Azlan, perlbagai janji ditabur oleh kerajaan negeri untuk nelayan pantai di Pulau Pinang, namun mengikut pemerhatiannya, setakat ini beliau hanya nampak pelantar yang acapkali menjengah mengukur permukaan laut.

Segala informasi dan maklumat yang sepatutnya mereka tahu mengenai perkembangan semasa projek itu, mereka juga hanya mendapatkannya melalui laporan akhbar-akhbar tempatan, bukan dari pemaju atau kerajaan negeri sendiri. Adilkah begitu?

Nelayan pantai Sungai Batu, Azlan Yusoff menghantar foto kepada Harakahdaily selepas pulang dari laut. Akibat ribut dan bimbang nyawa menjadi taruhan, mereka terpaksa pulang ke darat lebih awal.

“Depa duk janji-janji, apa pun takdak, tapi duk sukat sana, duk sukat sini. Tak dak dengar apa pun.

“Dengar kot paper sahaja depa kata nak teruskan juga, kami nelayan boleh bantah buat macam ini lah, demo macam itu lah. Mungkin pasai kami nelayan bahagian pembangkang, berita-berita apa tak dak.

“Duk tunggu jugak, hari itu kata nak buat bulan lima, tapi tengok la ni ada la depa bubuh pelantaq untuk depa sukat-sukat buat kajian depa, kira ada la kajian tu.

“Pelantaq tu dulu dia mai dah, la ni dia mai balik,” ujarnya.

Mengulas mengenai ex-gratia yang ditawarkan kerajaan negeri terhadap nelayan di Selatan Pulau Pinang, kata Azlan, jumlah yang ditawarkan adalah tidak berbaloi.

Katanya, jumlah hasil tangkapan yang diterima nelayan adalah jauh lebih besar daripada RM20,000 mengikut hitungan pendapatan mereka secara tahunan.

Cuma menurutnya, pendapatan dan hasil mereka akan merosot sekiranya tiba musim ribut seperti kebelakangan ini di mana mereka tidak dapat all out disebabkan tempoh mereka berada di laut tidak lama seperti sedia kala.

Ditanya mengenai kesan yang diterima nelayan ketika ini akibat daripada pembangunan dan penambakan di bahagian Utara Pulau Pinang, kata Azlan, mereka turut terkesan walaupun sedikit.

Katanya, air pasang surut yang membawa selut dan sampah-sampah lain turut dirasai, bahkan ia juga menganggu hidupan-hidupan laut.

Bagaimanapun, sejauh mana kesan yang akan diterima nelayan sekiranya PSR Fasa 1 diteruskan, kata Azlan, beliau juga tidak pasti.

“Nanti dah jadi baru kita tau (kesannya), tapi nanti mesti sibuk macam kat jalan raya, kapal masuk, bot nak masuk, apa-apalah,” katanya.

Jelas Azlan lagi, menurut pemahamannya, tindakan kerajaan menawarkan enjin bot dan juga sampan baharu kepada nelayan itu difahami sebagai satu mesej mereka perlu mencari tempat baharu selepas PSR mula dibangunkan.

Namun katanya, ia adalah satu perkara yang mustahil kerana sampan dan peralatan yang digunakan nelayan pantai selama ini tidak sesuai digunakan di kawasan yang lebih jauh dari situ.

“Memang kira macam depa janji nak bagi sampan dengan enjin tu, saya faham maksud depa pi tangkap di luar.

“Memang tak ngam, tak boleh lagu tu, tak sesuai. Depa nak bagi enjin bot nak suruh pi tangkap di luar. Sampan besaq tu mana boleh nak pi tangkap di luar nu.

“Ribut di luar lagi besar-besar, enjin 75 mana boleh nak bawak barang jauh-jauh, mai ribut mampuih.

“Kena bawa sorang daripada depa, hak wakil-wakil cakap banyak tu mai naik bot pi ke laut macam mana, tengok keadaan, baru depa tau,” ujarnya.

“Depa kerja duduk dalam air cond sahaja, dalam pejabat, depa tak biasa kerja lagu ni, pengalaman tak dak.

“La ni kami duk musykil la, jadi buat ka tak jadi buat ka, apa pun tak tau,” katanya.

Ujar Azlan lagi, apa yang diharapkan kerajaan negeri untuk membina lebih banyak pembangunan kononnya untuk mencantikkan Pulau Pinang akan memangsakan rakyat negeri itu, begitu juga nelayan.

Katanya, melalui laporan akhbar, beliau ada membaca nelayan-nelayan di Tanjung Tokong dan kawasan sekitar menasihati nelayan di Selatan Pulau Pinang agar menjadikan mereka sebagai teladan.

Perkara itu kata Azlan, amat menyedihkan apabila melihat nasib nelayan-nelayan di sana, bahkan pampasan yang ditawarkan juga tidak dapat diberi kepada semua nelayan.

“Kalau sapa besa jadi nelayan dia tau la, macam mana susah ka, senang ka jadi nelayan.

“Barang mahai, enjin susah nak repair, kalau tak biasa try jadi nelayan tak payah sembang, apa cakap macam depa tau sangat.

“Tengok baru-baru ini, mati di laut, berapa orang? Dekat 3 orang mati. Inilah realiti kami, sekarang ini kami hari-hari kena ribut ni.

“La ni musim ribut. Pergi kelaut, duduk sejam dua, angin mai, pastu lari balik tinggai pukat.

“Tadi ribut, kelmarin ribut, sejam dua duduk dalam laut, lari. Hendak pi jauh pun tak berani dah, takut tak boleh balik,” kongsi Azlan yang sudah 20 tahun berkecimpung dalam dunia nelayan. – HARAKAHDAILY 18/6/2021

- Advertisement -