Pemandu teksi, penjaja gembira dapat sumbangan

- Advertisement -

KUALA KRAU: ADUN Jengka, Ustaz Shahril Azman Abdul Halim telah menyampaikan sumbangan kepada para penjaja dan pemandu teksi atau kereta sewa sekitar bandar ini di Jengka Sentral, pagi semalam.

Sumbangan wang tunai ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Pahang atas keprihatinan terhadap masalah yang dihadapi para penjaja dan pemandu teksi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

- Advertisement -

Ianya bertujuan meringankan beban mereka atas terjejasnya perniagaan dan operasi yang sekali gus mengurangkan pendapatan disebabkan terhadnya jualan dan kekurangan pelanggan menggunakan khidmat.

Turut hadir bersama di dalam majlis ringkas bersama Ustaz Shahril yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krau pada penyerahan sumbangan ini ialah Setiausaha Majlis Daerah Maran, Wan Norizan Wan Badaruzzaman.

Ustaz Shahril di dalam ucapannya mengakui PKP kali ini yang mengenakan sekatan pergerakan penuh (SPP) telah memberi tamparan hebat kepada pendapatan seharian banyak pihak terutama golongan tersebut.

“Ada dalam kalangan mereka yang nak dapat RM20 sehari pun agak sukar dan apabila berlaku PKP lebih besar kerisauan yang melanda serta memberi kesan ke atas kehidupan dan keluarga mereka. Kita faham keresahan yang rakyat hadapi sepanjang PKP. 

“Sehubungan dengan itu kita mengharapkan sumbangan yang diberi mampu sedikit sebanyak meringankan beban para penjaja dan pemandu teksi di sini dan kita doa semoga Allah S.W.T hilangkan COVID-19 ini,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 18/6/2021

- Advertisement -