OKU tolak dakyah liar tetap hadir terima vaksin

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

BACHOK:
Orang kelainan upaya (OKU) gembira menerima vaksin dos pertama Covid-19 pada program vaksinasi komuniti di sini semalam, walaupun sebelum itu pelbagai dakyah bagi menakut-nakutkan mereka.

Malah program yang diadakan di Kompleks Pendidikan Islam (KPI) Kampung Badak itu mendapat sambutan baik apabila kira-kira 200 OKU hadir mendapat suntikan.

Mohd Nazri Nawi, 56 bersyukur kerana dapat bersama-sama OKU lain menerima dos pertama vaksin bagi wabak Covid-19.

- Advertisement -

Beliau yang juga Penyelaras OKU Parlimen Bachok berkata, pernah menerima pelbagai dakyah dan maklumat buruk mengenai vaksin.

Namun katanya beliau mengabaikan kerana melihat situasi negara dengan penularan Covid-19 sekarang.

“Banyak andaian dibuat mengenai vaksin memang menakutkan, tetapi kita tetap menyahut seruan kerajaan dengan vaksin sahaja negara kita boleh dipulihkan seperti sedia kala.

“Jadi alhamdulillah, sekiranya semua rakyat Malaysia menerima vaksin maka rantai wabak terputus dan kita pulih seperti biasa, rakyat dapat bekerja, aktiviti dapat dilaksanakan,” katanya ketika ditemui.

Abdul Latiff Mat Husin 65 pula berkata, beliau menerima vaksin Covid-19 dengan hati terbuka atas faktor kesihatan kerana golongan yang berisiko dijangkiti wabak tersebut golongan rentan termasuk warga emas.

Menurutnya, langkah kerajaan melaksana Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dibuat secara berperingkat bagi memastikan setiap warganegara selamat daripada jangkitan.

“Saya menerima vaksin secara terbuka dengan kesedaran saya sendiri, bukan melalui kempen. Malah saya terima dengan hati yang terbuka sebab faktor kesihatan kerana warga emas lebih berisiko.

“Saya yakin dengan vaksin insyaAllah selamat kerana kita yakin dengan pakar perubatan yang menjalankan kajian dahulu sebelum memberi vaksin kepada rakyat,” katanya.

Abdul Latif merupakan Pengerusi Persatuan Orang Buta Malaysia cawangan Kelantan turut memuji program vaksinasi komuniti yang disifatkan memberi kemudahan kepada golongan OKU pelbagai kategori.

Perkhidmatan vaksinasi yang dikendalikan Pejabat Kesihatan Daerah Bachok itu turut menawarkan suntikan vaksin secara pandu lalu khusus bagi keluarga yang memiliki anggota OKU tidak boleh berjalan.

Bahkan usaha tersebut turut mendapat kerjasama Adun Pantai Irama, Md Huzaimy Che Husin, Muslimat PAS Bachok, anggota Jabatan Amal Bachok dan sukarelawan vaksin.

Mohd Zulhilmi Zulkifli, 30 yang mengalami kecacatan penglihatan sejak kecil menyerahkan kepada kebijaksanaan serta kepakaran pegawai perubatan untuk memberi vaksin Covid-19 kepada rakyat.

“Saya fikir tiada rasa apa-apa rasa selepas menerima suntikan seperti sebelum menerima suntikan juga, saya menerima vaksin ini atas kemahuan sendiri.

“Saya lihat pemberian vaksin perkara biasa kerana kandungan vaksin sudah dikaji pakar perubatan, kita hanya menerima sahaja selepas kajian demi kajian dibuat untuk pastikan tiada kesan kepada rakyat,” katanya.

Zulkifli Ahmad, 56 pula berkata walaupun sudah membuat pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera, namun beliau mendapat berita permohonannya dipercepatkan menerima vaksin secara komuniti bagi OKU.

Beliau yang mengalami kecacatan anggota fizikal sejak kecil berkata, perkhidmatan yang ditawarkan petugas perubatan sangat baik serta memudahkan urusan pemberian vaksin kepada golongan terbabit.

“Dengan aplikasi saya sudah buat pendaftaran, tetapi doktor adjust biar jadi cepat, lagi pun ada program beri vaksin OKU di sini bolehlah urusan beri vaksin dipercepatkan.

“Alhamdulillah selesai bagi dos pertama, tunggu dos kedua pula pada bulan Julai depan,” katanya yang memiliki sebuah kedai perabot di Jelawat. – HARAKAHDAILY 18/6/2021

- Advertisement -