Kita terlampau dirasuki candu kecemerlangan

Foto hiasan.
- Advertisement -

Oleh DR NORDI ACHIE

ISTILAH cemerlang sangat hebat. Pengaruhnya sangat besar dalam hidup manusia. Semua orang mahukan kecemerlangan. Tanpa disedari, kita sebenarnya terlalu disogokkan dengan nafsu melulu yang dirasionalkan atas nama cemerlang.

Akibatnya, kita ketagih dengan retorik cemerlang. Perkataan “cemerlang” dislogankan di semua tempat, padahal adalah lebih manusiawi (praktikal dan realistik) untuk memberikan sumbangan yang memuaskan. Sepaling minimum, memberikan sumbangan yang memadai. Kiranya ini pun sudah mencukupi, asalkan ikhlas dan istiqamah.

Pekerja yang cemerlang prestasinya pada tahun ini, dia tidaklah semestinya cemerlang sepanjang perkhidmatannya mahupun cemerlang sepanjang hayatnya. Malah, pekerja yang cemerlang di pejabatnya, belum tentu dia cemerlang di rumahnya. Dunia ini bulat.

- Advertisement -

Kita terlampau dirasuki candu kecemerlangan. Kita mengabaikan hakikat hidup yang sangat berharga. Sebaik-baik hidup ialah sederhana. Kecemerlangan adalah kesederhanaan. Begitu juga dengan universiti.

Kiblat universiti

Meskipun kita sudah merdeka, namun kiblat universiti kita masih ke Barat. Ini sangat memalukan kerana kita gagal bermandiri sebagai bangsa berdaulat di mata dunia. Zahirnya kita merdeka, tetapi batinnya kita masih terjajah.

Mengapakah kita mengabaikan acuan Malaysia? Bukanlah fajar tetap terbit biarpun malam tidak hamil? Sebagai institusi ilmu, universiti semakin rancu. Sebagai intitusi adab, universiti semakin rosak.

Pada prinsipnya, sumbangan ilmiah para sarjana di universiti merupakan hadiah kepada rakyat dan negara, namun akibat berkiblatkan materialisme Barat, konsep ilmu sebagai hadiah di negara ini telah berubah menjadi “produktiviti”.

Ilmu menjadi komoditi untung rugi dalam pasaran kapitalisme yang kejam dan liar. Inilah bahana terhadap universiti di negara kita akibat meneguk bulat-bulat pengaruh materialisme Barat yang dirasionalkan atas nama ranking universiti. Hanya segelintir sarjana kritis dan konstruktif yang berani menegur kebobrokan ini secara jujur.

Secara umumnya, akademikus di negara ini tidak memenuhi dua karakter penting iaitu kritis dan konstruktif. Penulisan mereka hambar (lesu dan layu). Keperibadian mereka kaku (pengecut dan pengangguk). Kuliah mereka mendatar (membosankan dan memenatkan). Nasihat mereka hampas sebab mereka hipokrit dan oportunis.

Mereka hanya bekerja untuk poket dan perut sahaja. Inilah keutamaan mereka, bukan kerana kecintaan mendalam terhadap ilmu dan rakyat. Universiti dijadikan lubuk bendawi untuk kepentingan peribadi dan penguasaan gengsi. Ini membentuk lingkaran syaitan di universiti.

Lantaran itulah, kita tidak pernah menemui ilmuwan sehebat al-Ghazali dan Ibnu Sina di negara ini. Akademikus di negara kita terlihat individualistik dan egositik. Cakap berdegar-degar, tahi tersangkut di gelegar.

Pada zahirnya, semua universiti tersergam indah di negara ini lantas menjadi kebanggaan rakyat yang naif, namun roh universiti (keluhuran falsafah dan etika kesarjanaan), hakikatnya bagaikan gelandangan terbiar.

Universiti menjadi lubuk penakungan akademikus yang bermulut tetapi bisu, bertelinga tetapi pekak, bermata tetapi buta. Mulut ternganga, minda terkatup. Inilah kebenaran pahit yang amat sukar dipercayai. Inilah bayang-bayang masa depan universiti yang agak mengerikan. Hanya jauhari mengenal manikam.

Dari kesuraman roh universiti ini, tipislah harapan kita untuk melahirkan ilmuwan sehebat al-Khawarizmi dan al-Biruni, malah mujtahid sehebat Hamka dan Za’ba. Benarlah firasat Syed Hossein Nasr, demikianlah universiti yang cetek dari segi kualiti, tetapi mengagumkan dari segi kuantiti.

Akibat terpedaya dengan ranking antarabangsa, puak bebalisme di universiti termengah-mengah mengejar penarafan dan tercungap-cungap memburu reputasi tanpa penghujung. Keseronokan bekerja berubah menjadi persaingan bobrok.

Semua akademikus dipaksa menjerumuskan diri dalam perangkap keserakahan yang kejam ini. Hanya sarjana kritis yang menyedari kebobrokan ini, namun kebanyakan daripada akademikus hanya mengikut membuta tuli sahaja.

Seperti dimaklumi, virus paling licik dan lunak yang merancukan universiti ialah keghairahan melampau terhadap ranking universiti. Universiti di seluruh dunia telah dipegang atas nama ranking (penarafan antarabangsa).

Universiti yang menyertai ranking dianggap berani bersaing di peringkat antarabangsa. Ini merupakan persaingan bodoh kerana sistem ranking hanya memenangkan universiti mapan yang sudah termasyhur dan berusia ratusan tahun di muka bumi ini.

Mereka menyertai ranking universiti untuk dimenangkan, tetapi kita memasuki ranking untuk dikalahkan. Ini merupakan kemeluluan yang memperbodoh diri kita sendiri.

Universiti rakyat

Universiti di negara ini harus fokus terhadap pembangunan ilmu demi kemajuan rakyat dan negara. Soal ranking universiti, ini merupakan urusan menyibuk dan menyamuk sahaja. Jangan sampai, akibat terkejar2 dengan ranking antarabangsa, kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kebuluran. Kebutaan terhadap ranking antarabangsa yang mempersonakan itu merupakan kecuaian yang sukar dimaafkan.

Seterusnya, mentaliti fanatik dan fantastik terhadap ranking antarabangsa telah mengakibatkan merebaknya sindrom keghairahan terhadap istilah “pengantarabangsaan”. Hampir semua urusan di universiti sedapat-dapatnya dikaitkan dengan “pengantarabangsaan”. Indah khabar dari rupa.

Dalam pada itu, pengantarabangsaan dan penarafan (ranking universiti) dianggap sebagai amalan terbaik konon! Ini merupakan mitos yang dirasionalkan. Sedarlah, aduhai akademikus.

Kaum akademikus yang berfikiran cetek lagi sempit, akibat lemah berfikir secara kritis atau hanya membaca buku dalam bidang mereka sahaja, terlalu mudah tergiur dengan mitos yang dirasionalkan ini.

Perlu ditegaskan, amalan terbaik universiti yang sebenarnya ialah keunikan universiti itu sendiri, bukannya keseragaman dan keselarasan universiti di seluruh dunia, mengikut syarat-syarat stereotaip yang dipaksakan menerusi perangkap ranking universiti. Bukalah mata, luaskan minda.

Sepuluh universiti teratas dalam ranking dunia kesemuanya terletak di Barat. Persoalannya, dengan menjadikan universiti-universiti ini sebagai model, apakah universiti di negara kita juga menjadi terbaik sebarisan dengan mereka? Tidak semestinya, malah tidak ada bukti yang menyatakan kita hanya boleh berjaya atau mesti berjaya dengan mengikut telunjuk Barat sahaja. Ukurlah baju di badan sendiri.

Hakikatnya, kita harus maju berlunaskan keunikan acuan Malaysia sendiri, sesuai dengan sejarah, budaya, masyarakat dan keperlun khas kita sendiri. Barat ada cara tertentu, Timur ada cara tersendiri. Kita berbeza dengan Barat kerana keunikan yaang kita miliki. Lain padang lain belalang.

Dalam keadaan terkejar-kejar dengan ranking antarabangsa, akademikus di universiti turut didakwahkan secara halus agar pandai menjual diri atas nama promosi dan publisiti. Dengan ini, bukan sahaja ilmu telah dijualbelikan, bahkan maruah ilmuwan juga diperniagakan.

Siapa yang pandai “menjual diri”, dia akan cepat naik pangkat dan mudah menduduki kuasa. Ini merupakan godaan nafsu bobrok.

Sejujurnya, terlalu sedikit akademikus yang mampu menolak godaan nafsu bobrok ini dan terlalu sedikit akademikus yang ikhlas mempertahankan keluhuran universiti sebagai institusi ilmu dan institusi adab. Amat dikhuatiri, universiti mungkin berubah menjadi syaitaniversiti. Siapa tahu? Rakyat dan pemimpin negara ini tidak menyedarinya kerana mereka berada di luar jeriji besi universiti.

Mentafakuri masa depan

Yang universiti kecapi hari ini bukanlah kejayaan (jauh sekali kecemerlangan) sejati, tetapi sekadar kepalsuan, kecurangan dan kepuraan yang dirasionalkan atas nama kecemerlangan.

Dewasa ini, berhala baharu yang diunggulkan di universiti ialah kuantiti. Segala-galanya diukur dengan kuantiti, kuantiti dan kuantiti. Sebaliknya, kualiti dan integriti hanya menjadi kosmetik dan retorik sahaja.

Kualiti dan integriti tidak menjadi pentakrif, hanya menjadi ekor kepada kuantiti. Natijahnya, kualiti dan integriti turut diukur secara kuantitatif dan kalkulatif. Ini merupakan kebebalan yang luar biasa.

Mereka jahil membezakan antara pengukuran (sesuatu yang dapat diukur dengan skala tertentu) dengan penilaian (sesuatu yang tidak dapat diukur, tetapi dapat dinilai secara kritis).

Selain itu, paling mengerikan, ketamakan dan kerakusan dirasionalkan (dihalalkan, dilunakkan atau dimaniskan) atas nama pencapaian peribadi. Manakala, keriakan (menunjuk-nunjuk) dirasionalkan atas nama keperluan kendiri (promosi dan publisiti). Licik bukan? Jelas, universiti telah mengalami hakisan keunggulannya, yakni visi moral yang luhur.

Dalam konteks tipu muslihat ranking antarabangsa yang halus itu, universiti yang berada di kedudukan tinggi dipandang bernilai tinggi, menjadi model dan tumpuan serta mendapat limpahan wang menerusi yuran (pelajar asing) dan tajaan (dalam pelbagai aspek).

Malah, pengaruh ilmu juga dinilai dalam bentuk kuantiti. Lagi banyak tulisan tertentu dirujuk, lagilah bernilai tinggi konon! Dakwaan simplistik ini mudah dipertikaikan. Dengan ini, muncullah jurnal berindeks (jurnal berbayar) untuk mengukuhkan agenda ranking universiti.

Perlu difahami, betapa banyak rujukan atau petikan yang dilakukan terhadap artikel tertentu, ia tidaklah semestinya menunjukkan keunggulan ilmiah artikel tersebut. Akademikus yang merujuk (atau memetik) artikel dalam jurnal berbayar (untuk menaikkan ranking universiti) atau jurnal berbudi (untuk melestarikan ilmu tanpa bayaran), disebabkan oleh pelbagai sebab.

Pertama, artikel tersebut dirujuk (atau dipetik) kerana ia benar-benar diperlukan sebagai bukti, hujah dan sebagainya atau ia merupakan satu-satunya kajian mutakhir yang berwibawa mengenai topik tertentu;

Kedua, akademikus berkenaan merujuk artikel tertentu dengan motif untuk memperbanyak sumber rujukannya agar tulisannya kelihatan hebat (maklumlah, manusia memang mudah terpedaya dengan kuantiti);

Ketiga, akademikus tersebut mahu mengangkat nama penulis tertentu agar tulisan-tulisan penulis tersebut (mungkin penyelianya, pensyarahnya atau rakan sejawatannya yang berpengaruh) semakin dikenali atau menjadi terkenal dalam topik tersebut (mereka saling memetik agar nama mereka sama-sama terkenal);

Keempat, akademikus ini mengalami kesuntukan masa untuk menerbitkan tulisannya lantas dia merujuk (atau memetik) tulisan tertentu kerana terdesak (sebagai pilihan terakhir, bukan sebagai pilihan terbaik);

Berdasarkan fakta ini, jelas bahawa artikel yang diterbitkan dalam jurnal berbayar (jurnal berindeks) tidaklah semestinya artikel terbaik atau paling berwibawa. Sebaliknya, artikel yang tidak diterbitkan dalam jurnal berbayar, justeru dianggap tidak bernilai tinggi. Ini merupakan kesewelan yang melampau.

Kesemuanya ini didalangi permainan angka (kuantiti) yang mudah mengaburi mata akademikus bobrok gara-gara terpedaya dengan ranking universiti.

Ilmu dipasarkan bagaikan komoditi dagangan. Memperdagangkan ilmu samalah dengan memperdagangkan ilmuwan. Di manakah maruah para ilmuwan kita?

Di samping virus ranking universiti, hampir kesemua pengukuran, pengauditan dan pentaksiran (akademik dan administratif) juga disempitkan dengan cara kuantitatif dan kalkulatif.

Paling menjengkelkan, sumbangan universiti dan akademikus tidak lagi dihargai berlunaskan nilai kemanusiaan sebagai teras keunggulannya, tetapi disesuaikan pula mengikut syarat-syarat ranking universiti, secara halus mahupun sebaliknya.

Sukar disangkal, pendewaan terhadap ranking antarabangsa telah menyebabkan pengaruh wang, kuasa dan kepentingan peribadi menjadi pemicu fatalistik terhadap persaingan manipulatif dan eksploitatif di universiti.

Akibatnya, perebutan pangkat, jawatan dan pengaruh berlaku semakin sengit dan rakus di universiti, meskipun perebutan ini tidaklah meliputi semua situasi dan merentasi sepanjang masa.

Malah, dalam situasi tertentu, syarat kenaikan pangkat dan syarat lantikan ke jawatan adminstratif sengaja diperketat untuk menyekat dan menekan orang bawahan. Falsafah altruisme dipandang sepi.

Puncanya, kita tidak mempunyai pemimpin universiti yang karismatik. Natijah terburuknya, etos universiti yang luhur iaitu sentiasa memberi (tidak pernah meminta kembali), sanggup berkorban (dalam semua keadaan demi kemanusiaan) dan sedia memikul tanggungjawab dengan cekap, bersih dan amanah, hanya menjadi batu nisan yang kian kusam.

Sejujurnya, keluhuran etika ini telah dikotori oleh tabiat individualistik dan egoistik. Belajarlah daripada sejarah keunggulan dan keluhuran universiti. Sejarah ialah pengajaran falsafah (iktibar kebenaran) menerusi teladan. Kembalilah ke pangkal jalan. Esok masih ada. – HARAKAHDAILY 18/6/2021

Penulis ialah Pengerusi Pertubuhan Pemikir Siswazah Sabah.

- Advertisement -