Junjung titah YDPA, RRM: Terus fokus tangani COVID-19

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyokong penuh kenyataan PAS Pusat yang dikeluarkan oleh Timbalan Presiden PAS, YB Ustaz Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkenaan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu untuk terus menangani dan memerangi COVID-19 serta pemulihan ekonomi negara.

Sebanyak tujuh ketetapan yang terhasil dari perjumpaan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bersama Raja-raja Melayu membuktikan kecaknaan dari pihak Raja-raja Pemerintah terhadap keutamaan yang perlu diberikan perhatian bagi memastikan kesejahteraan negara dan rakyat terus berada di atas pertimbangan dan keutamaan yang wajar sebagaimana yang ditegaskan iaitu nyawa dan kepentingan rakyat wajib diutamakan mengatasi perkara-perkara lain.

Dengan tercetusnya tujuh ketetapan tersebut juga, adalah jelas bahawa perkara pokok yang perlu diberikan keutamaan oleh semua pihak tanpa wujud sebarang usaha mempolemikkan politik yang boleh mengeruhkan suasana perpaduan kalangan rakyat ialah usaha sama dari semua peringkat bagi memastikan angka kes positif COVID-19 dapat dilandaikan dengan segera serta usaha-usaha menjayakan program vaksinisasi mencapai matlamat imuniti kelompok 80 peratus dengan secepat mungkin.

Advertisement

DUPP juga melihat pengumuman YAB Perdana Menteri dalam pembentangan Pelan Pemulihan Negara berkenaan Sidang Parlimen adalah selari dengan titah Baginda Tuanku mengambil kira proses-proses dan prosedur-prosedur yang perlu dipatuhi mengikut lunas-lunas Perlembagaan Malaysia seperti notis Sidang Parlimen 28 hari sebelum tarikh persidangan, keterlibatan pelbagai kementerian dan agensi untuk penyediaan dokumen yang melibatkan keperluan pegawai-pegawai hadir bekerja di pejabat selain dari keperluan penyediaan data-data dan maklumat-maklumat yang memerlukan masa yang secukupnya oleh pihak yang berkaitan.

DUPP menyeru kepada semua pimpinan parti politik untuk bersikap matang dalam memastikan proses semak dan imbang menerusi Sidang Parlimen yang bakal dibuka nanti, sebagai medan percambahan idea, perbahasan yang terfokus serta usaha sama di antara pihak kerajaan dan pembangkang dalam saling berkongsi pandangan serta tidak menjadikan Parlimen sebagai tempat mencetuskan polemik yang tidak berkesudahan demi kepentingan sebahagian pihak sahaja dengan membelakangi 7 ketetapan dari sidang Majlis Raja-raja Melayu. 

“Ulamak Perteguh Muafakat”
“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat,
Ahli Parlimen (Pasir Puteh) – HARAKAHDAILY 18/6/2021