Habiskan masa di ‘medsos’ atau banyakkan berselawat?

- Advertisement -

RAMAI antara kita, ketika waktu terluang sepanjang PKP ini, gemar menghabiskan masa di media sosial. Selepas Facebook, pergi pula ke Instagram, seterusnya Twitter dan Tik Tok, sehinggalah kita tidak sedar hari yang ada habis dengan begitu sahaja. 

Di kesempatan ini, saya ingin ‘mencabar’ diri dan sahabat-sahabat, untuk merancang waktu untuk memperbanyak selawat ke atas junjungan besar Rasulullah S.A.W. Jika kita perhatikan, terlalu banyak fadhilat atau kelebihan yang dijanjikan kepada orang yang berselawat ke atas Baginda S.A.W. Allah S.W.T berfirman dalam Surah al-Ahzab ayat 56:

- Advertisement -

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

“Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan kepadanya.”

Berselawat ke atas Rasulullah S.A.W adalah ibadat yang sangat agung kerana Allah S.W.T turut melakukannya. Selawat Allah S.W.T bermaksud pujian ke atas Baginda S.A.W di sisi para malaikat manakala selawat oleh para malaikat membawa erti doa memohon tambahan gandaan pahala.

Memperbanyak selawat merupakan salah satu tanda kecintaan kepada Rasulullah S.A.W sekali gus menjadi faktor utama untuk memperolehi syafaat Baginda S.A.W di akhirat kelak. Rasulullah S.A.W menjanjikan bahawa sesiapa yang berselawat ke atas Baginda sekali akan dibalas oleh Allah S.W.T dengan sepuluh kali selawat, serta dihapuskan sepuluh kesalahannya dan diangkat sepuluh darjat. Baginda S.A.W bersabda:

مَن صلَّى عليَّ صلاةً واحدةً، صَلى اللهُ عليه عَشْرَ صَلَوَاتٍ، وحُطَّتْ عنه عَشْرُ خَطيئاتٍ، ورُفِعَتْ له عَشْرُ دَرَجَاتٍ

“Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dihapuskan sepuluh kesalahan (dosa) dan diangkat sepuluh darjat.”

(Hadis Riwayat an-Nasai)

Baginda S.A.W juga turut memberikan peringatan bahawa orang yang tidak berselawat ke atasnya apabila mendengar nama Baginda S.A.W disebut dikira sebagai orang yang bakhil. Sabda Baginda S.A.W:

الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

“Orang yang bakhil ialah orang yang apabila disebut namaku di sisinya dan dia tidak berselawat ke atasku.”

(Hadis Riwayat Tirmizi)

Elakkanlah diri kita daripada dikategorikan sebagai orang yang bakhil di sisi Rasulullah S.A.W. Usahlah lekang daripada bibir kita untuk mengucapkan selawat ke atas junjungan besar.

Janganlah kita khuatir mengenai ketidaksampaian selawat kita kepada Baginda S.A.W. Sesungguhnya, Allah S.W.T telah mengkhususkan malaikat yang ditugaskan untuk membawa selawat kita kepada Rasulullah S.A.W. Ianya adalah kelebihan Nabi kita yang tidak ada pada Nabi-nabi terdahulu. Sabda Rasulullah S.A.W:

إنَّ للَّهِ ملائِكةً سيَّاحينَ في الأرضِ يبلِّغوني عن أمَّتيَ السَّلامَ

“Sesungguhnya Allah S.W.T mempunyai malaikat yang mengembara mengelilingi di atas muka bumi menyampaikan kepadaku salam daripada umatku.”

(Hadis Riwayat An-Nasai´i)

Namun, perlu diingat dalam kita berselawat ke atas junjungan Nabi S.A.W pilihlah selawat yang telah dianjurkan oleh Baginda S.A.W kerana ia lebih tepat dan menepati sunnah yang ditinggalkan serta diamalkan oleh para Salafussoleh.

Pilihlah selawat yang terkandung dalam Hadis-hadis Sahih. Jauhilah lafaz-lafaz selawat yang disusun oleh individu-individu tertentu. 

Lafaz selawat yang selain diajarkan oleh Baginda S.A.W kadangkala dikhuatiri mengandungi kekeliruan sama ada dalam pemilihan bahasa, tatabahasa dan lebih parah lagi ianya boleh memberikan maksud salah faham berkaitan akidah. Antara contoh selawat yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W ialah:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ (رواه النسائي)

“Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.”

(Hadis Riwayat an-Nasa’i)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيد (رواه البخاري ومسلم)

“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Ya Allah, Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ (رواه البخاري ومسلم)

“Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan kepada isteri-isteri Baginda dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim. Ya Allah, berkatilah Muhammad dan isteri-isteri Baginda dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Insya-Allah, sama-sama kita berusaha meningkatkan amalan kita dengan merancang masa yang terluang dengan sebaik-baiknya.

YB USTAZ DATUK AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 18/6/2021

- Advertisement -