Peningkatan suntikan semakin baik – Amzad

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mencatat rekod vaksinasi harian tertinggi pada Khamis dengan pemberian sebanyak 221,706 dos sekali gus mencapai sasaran vaksinasi harian yang ditetapkan kerajaan.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Dato’ Ahmad Amzad Hashim berkata; sasaran purata 150,000 sehari suntikan pada bulan Jun telah pun berjaya dicapai.

Menurutnya, melalui PICK, negara sudah mencapai sasaran 150,000 dos sehari, manakala pada tiga hari yang terakhir kelmarin, Malaysia telah berjaya mencapai 200,000 lebih dos sehari.

Menurut Amzad, bekalan vaksin dijangka memuncak mulai penghujung Jun dan ketika ini, kerajaan mula menerima banyak bekalan vaksin Sinovac dan Pfizer.

“Mulai pada bulan Julai, Ogos dan selanjutnya kita akan mula menerima bekalan Pfizer secara berterusan sekitar 2,000,000 setiap minggu.

“Jadi kerana itu, kita tidak (lagi) berdepan dengan masalah dari segi bekalan vaksin,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Mengulas berhubung sasaran kerajaan dan MOSTI untuk mencapai 200,000 dos sehari pada Julai, beliau berkata pihaknya sedang berusaha untuk mengekalkan dari segi aspek konsistensi pemberian vaksin.

“Walaupun hari bekerja biasa kita mencatat angka suntikan yang tinggi tetapi masih lagi pada hujung minggu kita menyaksikan banyak PPV ditutup dan ada juga PPV dibuka tetapi dengan kadar pemvaksinan yang lebih minimum.

“Justeru itu, di pihak CITF sekarang kita sedang mencuba seboleh mungkin paling kurang enam hari seminggu, ini bermakna kita bagi satu hari untuk membolehkan berehat dan sebagainya.

“Di samping itu, kita juga sedang usahakan supaya walaupun kurang dari segi hari, maknanya pada hari Sabtu mungkin separuh hari, kadar itu perlu ditambah untuk hari biasa.

“Mungkin juga ditingkatkan lagi dengan penambahan masa jam bermula lebih awal untuk vaksinasi iaitu dari pukul 8.30 atau pukul 8.00 pagi dan dilewatkan penutupan pusat vaksinasi, dengan cara itu kita dapat cover apa yang kita hilang berkait dengan waktu hujung minggu,” jelasnya.

Berdasarkan hantaran Facebook Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV), seramai 3,810,071 individu pula menerima dos pertama, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 5,330,654 dos.

Lima negeri yang menerima kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 195,315, diikuti Sarawak (172,644), Johor (149,227), Perak (140,885) dan Kuala Lumpur (137,078).

Menurut hantaran itu, menerusi bilangan dos pertama (3,810,071) berkenaan, ia mewakili 11.7 peratus populasi rakyat negara ini. – HARAKAHDAILY 18/6/2021

- Advertisement -