Ambil kira status Covid sebelum Parlimen dibuka

Tuan Guru Dato’ Ustaz Hashim Jasi
- Advertisement -

ARAU: Sebelum Parlimen kembali dibuka kerajaan perlu mengambil kira kejayaan menangani penularan pandemik Covid-19 yang berlarutan sejak lebih setahun lalu.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata, sama ada Parlimen boleh kembali dibuka atau sebaliknya perlu melihat status kes harian Covid-19.

Sebaliknya kata beliau, sekiranya persidangan Parlimen menyebabkan kes Covid-19 bertambah persidangan itu wajar difikirkan semula.

- Advertisement -

“Ia juga selaras dengan titah Raja-Raja Melayu bagi memastkan nyawa dan kehidupan rakyat wajib diutamakan.

“Baginda juga mahu suhu politik disejukkan dan sebuah kerajaan yang mendapat sokongan majoriti rakyat,” katanya di sini.

Rabu lalu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan memaklumkan Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar angka jangkitan wabak Covid-19 dapat dilandaikan dengan segera dan berpandangan vaksinasi merupakan satu-satunya exit strategy bagi mengawal penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Sehubungan dengan itu, ujar beliau Seri Paduka Baginda turut menzahirkan pandangan bahawa kerajaan perlu bertindak tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat agar matlamat imuniti kelompok 80 peratus (herd immunity) dapat dicapai seawal mungkin.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan pandangan bahawa perlu adanya pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara,” katanya.

Malah kata Tuan Guru Hashim sekiranya suasana politik tidak menentu dan kacau bilau masih berterusan lebih baik darurat yang berakhir pada 1 Ogos dipertimbang semula.

“Saya bimbang jika dibiarkan terlalu bebas berpolitik mungkin suasana akan lebih teruk,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/6/2021

- Advertisement -