Third Gender: Liberalisme Sosial dan Humanisme

- Advertisement -

14 JUN 2021 yang lepas, SUHAKAM menawarkan kajian bertajuk Feasibility of Having Legislation on the Recognition of a Third Gender in Malaysia, sebagai satu strategi untuk mengiktiraf jantina ketiga di Malaysia.

Secara ringkasnya ia adalah sebahagian agenda Antarabangsa, antaranya pernah diforumkan dalam Asia Pasific Forum of National Human Rights Instituitions (Jun 2016). Antara yang dibincangkan ialah menjadikan gender ketiga sebagai satu jantina yang rasmi selain lelaki dan perempuan.

- Advertisement -

Dalam forum tersebut meletakkan bahawa golongan third gender ini wajar mendapat hak-hak mereka sebagai manusia normal. Termasuk dalam pendaftaran jantina dalam dokumen kelahiran dan sebagainya.

India antara negara yang sudah wujudnya golongan ini secara sah sejak 2014. Golongan gender ketiga ini dikenali dengan Hijra. Begitu juga Nepal, Pakistan dan Bangladesh yang mengesahkan jantina ketiga ini dalam dokumen-dokumen rasmi mereka.

Dalam Journal of Anthropological Research, Vol. 39 No. 3 (1983) menyediakan satu kajian yang bertajuk Transgenderism and the Cult of Yellamma: Heat, Sex, and Sickness in South Indian Ritual yang ditulis oleh Nicholas J. Bradford. Beliau menyatakan bahawa transgender subur di kawasan Asia Selatan antaranya disebabkan faktor agama.

Walau bagaimanapun, isu kepercayaan itu bukanlah menjadi krisisnya pada hari ini. Yang menjadi krisis ialah isu serangan Liberalisme. Third Gender ini boleh diklasifikasikan sebagai Liberalisme Sosial. Di Amerika ia disebut Liberalisme Moden. Liberalisme Sosial lebih menekankan pada aspek kebebasan individu yang terkait dengan haknya dalam mendapatkan keadilan sosial dan kesejahteraan sosial secara kolektif.

Jadi, kita perlu faham bahawa isu yang sedang bermain di hadapan mata kita hari ini bukanlah isu kesemulajadian, bukan isu hormon atau sebagainya, akan tetapi ia adalah isu ideologi. Ideologi Liberalisme secara umumnya sedang dipasarkan oleh Amerika.

Beberapa badan kajian seperti OnTheIssues, Echelon Insights dan sebagainya di Amerika telah mengeluarkan tinjauan terkini, menyatakan bahawa Joe Biden, Presiden Amerika hari ini lebih pekat Liberalisme-nya. Justeru, agak logik untuk kita katakan pasaran Liberalisme zaman Biden lebih rancak berbanding zaman Trump yang dilihat agak sederhana (antara Konservatif dan Liberalisme).

Dari sudut pandang yang lain, ia juga bersangkutan dengan ideologi Humanisme. Aliran ini secara sejarahnya dikenali bagi penentangan terhadap kongkongan gereja di zaman Reinassance. Mereka akan membantah mana-mana unsur yang dilihat mengongkong manusia.

Asal perbincangan aliran Humanisme terarah kepada membebaskan kongkongan terhadap agama. Tetapi akhirnya terheret kepada banyak hal. Kemunculan Liberalisme, Sekularisme dan sebagainya juga turut dikaitkan dengan Humanisme.

Akar pemikirannya berbalik kepada prinsip mereka bahawa manusia itu ‘berdiri sendiri’ dan tidak perlu bersandar pada tuhan. Akar ini berpunca daripada trauma terhadap ajaran Kristian yang sangat mengongkong mereka. Lantas mereka mengambil sikap kontra terhadap agama.

Apakah kesan sekiranya Humanisme-Liberalisme itu berpengaruh? Ia bakal melahirkan masyarakat yang tidak beretika, tidak terkawal dan tidak bermoral sekalipun mereka kata ingin membina masyarakat beretika. Ini kerana etika atau moral yang dimaksudkan oleh mereka, adalah apa yang ditentukan oleh diri sendiri.

Kelompok-kelompok kecil masing-masing akan diberi ruang untuk menuntut hak kesetaraan sekalipun tidak berhak. Jika lahirnya masyarakat seperti ini, ranaplah perabadan. Khususnya, apabila masing-masing mendakwa mempunyai etika dan moralnya tersendiri. Apabila tidak ada keseragaman dalam beretika dan bermoral, bagaimanakah nak bina masyarakat yang ideal?

Albert Schweitzer (1875-1965) seorang ahli falsafah Barat menulis dalam The Philosophy of Civilization mengkritik tamadun Barat yang hanya bersifat material (kebendaan). Sebaliknya tamadun itu perlu seiringan antara material dan moral. Beliau juga turutan bersetuju dengan konsep universal Ibnu Khaldun, yang merupakan tamadun ‘Civilization’yang hakiki. 

Bagaimanakah cara untuk kita hadapi perang pemikiran Barat yang meruntuhkan moral dan etika tadi? Kajilah pemikiran-pemikiran itu serta akar dan jalurnya. Dalam masa yang sama, tanamkan kefahaman Islam cara sebenar, bukan dengan cara Dogmatisme. Agama perlu dihurai secara logik dan berhujah, bukan dibuai dengan mistik dan mitos.

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 17/6/2021

- Advertisement -