Tawaduk mudah disebut sukar diamal!

- Advertisement -

ANTARA sifat terpuji yang diajar oleh Rasulullah S.A.W dan para Solafussoleh kepada kita ialah tawaduk, yakni merendah diri. 

- Advertisement -

Tawaduk menurut al-Raghib al-Isfahani ertinya ialah: 

“Berpuas hati (menerima dengan lapang dada) dengan satu kedudukan yang lebih rendah daripada apa yang sepatutnya diperolehi disebabkan ketinggian kedudukan dan kemuliannya”

(Kitab al-Zari ‘ah ila Makarim al-Syariah, Al-Raghib al-Isfahani (502H), ms 213).

Allah Taala berfirman dalam surah As-Syu ‘ara ayat 215:

وَاخْفِضْ جَنَاحَكَ لِمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

“Dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang beriman yang mengikutimu.”

Allah Taala juga berfirman dalam surah al-Isra ayat 37:

وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا إِنَّكَ لَنْ تَخْرِقَ الْأَرْضَ وَلَنْ تَبْلُغَ الْجِبَالَ طُولًا

“Dan janganlah engkau berjalan di bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembus bumi dan tidak akan mampu menjulang setinggi gunung.”

Bertawaduk itu ialah seseorang yang meskipun mempunyai kedudukan yang tinggi sama ada disebabkan jawatan yang dipegangnya, harta yang dimiliki atau ilmu yang dikuasainya namun tetap berpuas hati dan menerima dengan lapang dada apa sahaja sikap atau layanan orang kepadanya. 

‘Tawaduk’ berbeza maksudnya dengan ‘tazallul’ yakni menghina diri. ‘Tazallul’ ialah seseorang yang tiada harga diri dengan tunduk kepada manusia demi memperolehi sesuatu hajat meskipun terpaksa melanggar batasan agama. Tawaduk adalah sifat mulia sebaliknya tazallul adalah suatu sifat yang hina di sisi agama. Lawan kepada tawaduk pula ialah takabbur yakni sombong dan meninggi diri.

Rasulullah S.A.W bersabda:

إِنَّ اللهَ أَوْحَىْ إِلَيَّ أَنْ تَوَاضَعُوْا حَتَّى لَا يَفْخَرُ أَحَدٌ عَلَى أحَدٍ، وَلَا يَبْغِيْ أحَد عَلَى أحَدٍ

“Sesungguhnya Allah mewahyukan kepadaku agar kamu bertawaduk, sehingga seseorang tidak merasa bangga lagi sombong terhadap orang lain dan tidak pula berlaku aniaya kepada orang lain.”

(Hadis Riwayat Muslim 2198)

Di akhir zaman ini sifat tawaduk menjadi satu ujian yang sukar buat kita untuk mengamalkannya. Syeikhul Islam Imam al-Ghazali Rahmatullah ‘alaih menukilkan karangan agungnya iaitu Kitab Ihya ‘Ulumiddin adalah antara lain disebabkan bagi menghidupkan kembali fungsi ilmu dan ibadah. Beliau telah melihat ada di kalangan para ilmuan sudah lari dari tujuan menuntut ilmu. Ilmu dijadikan bahan untuk berdebat, menzahirkan kehebatan diri dan mencari kemasyhuran. Ilmu yang sepatutnya dipelajari bagi menambahkan rasa takwa dan kagum dengan sifat Maha Bijaksana Allah Taala sebaliknya telah bertukar menjadikan pencari ilmu kagum dengan kepandaiannya sendiri lantas suka merendah dan memperlekehkan orang lain. Oleh kerana itulah dinamakan karangannya ini dinamakan ‘Ihya’yakni menghidupkan kembali fungsi ilmu dan ibadah bagi melahirkan manusia yang tunduk kepada Allah Taala dan tawaduk dalam kehidupannya. 

Tawaduk ialah akhlak yang sangat terpuji yang lahir dari jiwa orang bertakwa dan para Solihin. Sifat tawaduk akan melahirkan jiwa yang tenang, emosi yang seimbang, wajah yang bercahaya dan mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah Taala. 

Orang yang tawaduk akan sentiasa mendahului memberi salam, menghulurkan tangan, terbuka menerima teguran, menghormati pandangan orang lain dan suka membelanjakan hartanya pada jalan Allah.

Rasulullah S.A.W bersabda:

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ، وَمَا زَادَ الله عَبْدًا بِعَفْوٍ إلَّا عِزًّا، وَمَا تَوَاضَعَ أحَدٌ لله إلَّا رَفَعَهُ الله؛ (مسلم، حديث 69).

“Tidak berkurang sedekah daripada harta, tidaklah Allah Menambah bagi seorang hamba yang memaafkan melainkan kemuliaan dan tidaklah seseorang itu bersifat tawaduk kerana Allah melainkan akan diangkat kedudukannya oleh Allah.”

(Hadis Riwayat Muslim 69)

USTAZ ZURIDAN MOHD DAUD – HARAKAHDAILY 17/6/2021

- Advertisement -