Tahniah vaksinasi harian lepasi 200,000 dos sehari

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia mengucapkan tahniah kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) atas kejayaan mencapai sasaran 200,000 dos suntikan vaksin Covid-19 harian.

Ketua Penerangannya, Dr Najihatussalehah Ahmad berkata, kerajaan telah membuktikan kadar vaksinasi berjaya ditingkatkan ke kadar maksimum meskipun pada awalnya usaha berkenaan diragui pelbagai pihak termasuk bekas pimpinan negara.

- Advertisement -

Menurutnya, kadar vaksinasi negara melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) agak rendah berikutan sasaran vaksinasi di peringkat awal adalah untuk petugas barisan hadapan.

“Setelah selesai fasa pertama, kerajaan memacu proses seterusnya hinggalah mencapai angka lebih 200,000 sehari.

“Berdasarkan data terbaru, sudah lebih 4.9 juta rakyat Malaysia telah menerima suntikan vaksin dan lebih kurang 1.47 juta daripadanya telah menerima dua dos lengkap. Penerima vaksin di Malaysia telah mencapai 7.09 peratus,” ujarnya kepada HarakahDaily, hari ini.

Dalam usaha untuk meningkatkan lagi kadar vaksinasi Covid-19 harian di negara ini, pihaknya menyeru kepada semua rakyat Malaysia yang berkemampuan untuk menjadi sukarelawan bagi membantu tugas pemberian vaksin.

Ini, kata beliau terutama doktor yang berkelayakan untuk memberikan suntikan vaksin.

“Dengan bantuan sukarelawan ini diharapkan kerajaan dapat mengekalkan momentum pemberian vaksin sebanyak 200,000 vaksin sehari,” katanya.

Semalam, jumlah vaksinasi harian bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mencapai 204,839 dos.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, daripada jumlah pemberian vaksin itu, seramai 196,775 individu menerima dos pertama manakala 8,064 individu menerima dos kedua. – HARAKAHDAILY 17/6/2021

- Advertisement -