SPM 2020: Pencapaian terbaik dalam tempoh 5 tahun

- Advertisement -

SIJIL Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dilaksanakan dalam situasi yang cukup berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Kedatangan COVID-19 yang tidak diundang telah mengubah landskap pendidikan negara dan global. Cabaran yang dihadapi ini amat besar akan tetapi aspirasi pendidikan negara tetap perlu diteruskan khususnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Antara kelainan yang cukup dirasai adalah setiap calon SPM 2020 perlu mengisi Borang Deklarasi Saringan COVID-19 untuk mengetahui status kesihatan mereka. Bukan itu sahaja, dewan peperiksaan turut dibahagikan kepada bilik khas, bilik alternatif dan bilik isolasi.

SPM 2020 menyaksikan seramai 401,105 calon menduduki peperiksaan sesi pertama pada 22 Februari sehingga 25 Mac 2021. Manakala, sesi kedua melibatkan seramai 2,969 calon yang dikuarantin dan disahkan positif COVID-19 pada 6 April sehingga 23 April 2021 (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2021). Selain itu, kekuatan tenaga khidmat SPM 2020 merekodkan seramai 48,014 petugas peperiksaan, peningkatan sebanyak kira-kira 15,000 kakitangan berbanding tahun-tahun sebelumnya (Radio Televisyen Malaysia, 2021). Guru-guru bertugas di sekolah juga turut terlibat dalam memastikan pergerakan calon di sekolah mematuhi SOP yang ditetapkan.

- Advertisement -

Pada 10 Jun 2021, serentak dengan pengumuman keputusan SPM 2020 di seluruh negara, Menteri Kanan Pendidikan, YB Dr. Mohd Radzi bin Md Jidin mengendalikan Sidang Media Khas Keputusan SPM Tahun 2020 menerusi siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan halaman Facebook RTM. Keputusan SPM 2020 yang dijangka akan merosot dan terjejas akibat pandemik tidak berlaku sekali gus memberi kejutan buat seluruh warga Malaysia.

Ringkasan Sidang Media Khas KPM

1. Pencapaian terbaik dalam tempoh 5 tahun.

Keputusan SPM 2020 mencatatkan pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.80, berbanding 4.86 pada 2019, 4.89 pada 2018, 4.90 pada 2017 dan 5.05 pada 2016. Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik. Lima mata pelajaran teras iaitu Matematik, Sains, Sejarah, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral menunjukkan peningkatan pada tahun 2020 berbanding hanya tiga mata pelajaran pada tahun 2019. Namun begitu, dua mata pelajaran teras melibatkan bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris menunjukkan penurunan pada tahun 2020. Peratusan pensijilan SPM 2020 juga lebih tinggi iaitu 88.68 peratus berbanding 86.72 peratus pada SPM 2019.

2. Penguasaan KBAT

Bagi tahap penguasaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), KPM membahagikan keupayaan calon SPM 2020 menjawab soalan KBAT kepada tiga kategori iaitu cemerlang, baik dan berpotensi. 48.89 peratus pelajar melibatkan hampir separuh jumlah keseluruhan calon SPM berupaya menempatkan diri dalam kategori baik. Jika dilihat dari aspek kemahiran pula yang merangkumi kemahiran mengaplikasi, menilai dan mencipta, keputusan menunjukkan kadar peratusan lebih tinggi dapat dicapai pada SPM 2020 berbanding 2019. Kemahiran menilai dan mencipta, kedua-duanya merekodkan peratus tahap penguasaan minimum lebih 90 peratus.

3. Pengecilan jurang pencapaian calon bandar dan luar bandar

Pencapaian calon SPM 2020 antara calon bandar dan luar bandar mencatatkan peningkatan dengan jurang pencapaian yang lebih mengecil kepada 0.38 pada tahun 2020 berbanding 0.44 pada tahun 2019. GPN calon bandar meningkat sebanyak 0.02 daripada 4.70 pada 2019 kepada 4.68 pada 2020 manakala GPN calon luar bandar meningkat sebanyak 0.08 daripada 5.14 pada 2019 kepada 5.06 pada 2020. Ini menunjukkan pencapaian calon luar bandar menunjukkan peningkatan yang lebih tinggi berbanding calon bandar.

4. Peningkatan pencapaian Calon Berkeperluan Khas

Calon Berkeperluan Khas (CBK) melibatkan calon kurang upaya fizikal, pendengaran, penglihatan (buta dan rabun), pertuturan dan masalah pembelajaran. Seramai 1,435 CBK telah berjaya menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2020. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 68.2 peratus CBK layak dianugerahkan SPM pada tahun ini berbanding 61.34 peratus pada tahun 2019 dengan peningkatan sebanyak 6.88 peratus.

Kesimpulan

Berdasarkan kesemua data yang dilaporkan KPM, secara umumnya pencapaian SPM 2020 adalah sangat memberangsangkan. Ramai yang tidak menduga keputusan SPM 2020 akan menjadi lebih baik berbanding SPM terdahulu yang dijalani ketika suasana normal. Pencapaian ini jelas membuktikan bahawa pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak setahun yang lalu bukanlah halangan untuk para pelajar mencapai kejayaan dalam SPM. Pertama kali dalam sejarah negara, pelajar menghadapi peperiksaan besar sebegini dalam suasana pandemik yang panjang.

Justeru, semua pihak terutamanya ibu bapa dan masyarakat perlu memberi sokongan kepada anak-anak khususnya dan golongan pelajar umumnya di samping menyambut baik inisiatif warga pendidik seperti proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang dijangka bakal diteruskan pada sesi persekolahan yang mendatang. Semoga dengan usaha ini, kita dapat membantu KPM merealisasikan visi dan misi pendidikan seterusnya menyediakan modal insan untuk kemajuan negara. 

QGENANALYSTS

Sumber Asal: https://www.facebook.com/2284919521796917/posts/2936210373334492/

Rujukan:

Radio Televisyen Malaysia (2021, June 10). Sidang Media Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia Tahun 2020.
https://www.facebook.com/watch/live/?v=346843946874834

Kementerian Pendidikan Malaysia (2021). Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Tahun 2020.
https://www.moe.gov.my/muat-turun/laporan-dan-statistik/lp/4375-laporan-analisis-keputusan-spm-2020/file – HARAKAHDAILY 17/6/2021

- Advertisement -