RM2.25 juta bantuan fasa 2 bantu peniaga terjejas

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2.25 juta sebagai bantuan fasa kedua bagi membantu peniaga-peniaga kecil yang terjejas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, sebanyak RM50,000 diperuntukan bagi setiap DUN bagi tujuan itu.

Katanya bantuan terbabit akan disalurkan melalui 45 Pusat Khidmat DUN (PKD) untuk diagih kepada peniaga-peniaga kecil yang terkesan.

- Advertisement -

“Kerajaan negeri memahami kesan ekonomi terhadap peniaga–peniaga kecil yang terkesan pada ketika ini,” katanya pada kenyataan media di sini hari ini.

Sebelum ini kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2.7 juta sebagai bantuan kepada rakyat terkesan akibat penularan Covid-19 menerusi Pakej Bantuan Cakna Rakyat Covid-19.

Kata beliau semoga dengan peruntukan tersebut dapat meringankan beban peniaga–peniaga kecil.

“Marilah kita terus berdoa dan berikhtiar agar Allah SWT mengangkat wabak ini daripada kita semua,” katanya.

Pada Ramadan lepas kerajaan negeri menyalur sumbangan sebanyak RM1.5 juta kepada 2,500 peniaga bazar Ramadan yang terjejas ekoran operasi bazar tidak dibenarkan kerana penularan Covid-19.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Dr Izani Husin berkata, bayaran sagu hati itu bagi membantu meringankan beban peniaga yang terkesan berikutan pembatalan bazar Ramadan. – HARAKAHDAILY 17/6/2021

- Advertisement -