Rakyat perlu sokong Pelan Pemulihan Negara

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Rakyat perlu menggembleng tenaga bersama kerajaan bagi merealisasikan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Selasa lepas.

Ketua Dewan Muslimat PAS Perlis, Ustazah Latifah Mat berkata, langkah kerajaan itu perlu disokong semua pihak bagi memastikan kehidupan pulih seperti sediakala.

Menurutnya pelan tersebut mengandungi empat fasa dan melibatkan proses peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat sehingga kehidupan seperti biasa dapat dicapai.

- Advertisement -

“Pelan ini juga membolehkan kerajaan menyusun segala perancangan mendepani Covid-19 dengan lebih baik. Namun begitu keberkesanan sangat bergantung kepada sokongan padu rakyat,” katanya di sini.

Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan kerajaan meliputi fasa 1 hingga fasa 4. Pada Fasa 1 sekarang perkhidmatan perlu sahaja dibenarkan beroperasi.

Fasa 2 pada Julai dan Ogos sektor sosial kekal ditutup, fasa 3 pada September dan Oktober sektor sosial dibuka secara berperingkat. Dan fasa 4 pada November dan Disember pembukaan penuh termasuk sektor sosial.

Latifah berkata, kesungguhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) membentang pelan pemulihan diharap dapat mengembalikan kestabilan politik dan ekonomi negara.

Pengarah Ameerah Negeri, Nuha Che Man turut menyambut baik usaha kerajaan dan menyifatkan ia sebagai strategi serampang dua mata.

“Anak muda memberi sokongan penuh akan usaha tersebut kerana ia diihat sebagai langkah untuk melandaikan semula lekuk graf jangkitan Covid dan dalam masa yang sama tidak mengabaikan sektor ekonomi.

“Langkah itu juga dilihat sebagai usaha berterusan kerajaan untuk membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 sekarang,” katanya.

Husna Hashim

Seorang ahli perniagaan, Husna Hashim, 36, pula berkata, biarpun sektor perniagaan akan dibuka pada fasa ketiga namun mereka perlu kreatif untuk menambahkan pendapatan masing-masing.

“Jika dilihat sektor perniagaan akan dibuka semula pada September tetapi nyawa dan kesihatan rakyat lebih penting.

“Dalam masa dua bulan itu sebenarnya memberi impak yang sangat besar kepada rakyat yang menjalankan aktiviti perniagaan tambahan pula mereka yang berniaga secara harian. – HARAKAHDAILY 17/6/2021

- Advertisement -