Raja-raja Melayu bantu jalan keluar dari krisis

- Advertisement -

PERBINCANGAN Khas Raja-raja Melayu yang dilaksanakan di Istana Negara menggambarkan keprihatinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu untuk mencari jalan keluar kepada krisis yang melanda negara.

Perkembangan ini meletakkan kedudukan institusi Raja-raja Melayu sebagai institusi yang dihormati dan menjadi harapan rakyat berbilang kaum, terutamanya pada saat getir negara berdepan dengan wabak COVID-19, kesempitan ekonomi dan kegawatan politik.

- Advertisement -

Penegasan Yang di-Pertuan Agong berkaitan keperluan mengadakan sidang Parlimen secepat mungkin perlu diberi perhatian serius oleh Perdana Menteri dan Jemaah Kabinet. Pandangan itu juga disepakati oleh Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu yang menyertai perbincangan berkenaan.

Pandangan yang dizahirkan ini menunjukkan bahawa institusi Istana sangat mengambil berat soal kelangsungan amalan demokrasi bagi memastikan wujud budaya ‘semak dan imbang’ sebagai mekanisme penting untuk mengelakkan salah laku, ketirisan dan ketidakcekapan.

Yang di-Pertuan Agong selaku salah satu elemen dalam Parlimen selain daripada Dewan Negara dan Dewan Rakyat mempunyai hak yang amat jelas untuk menyuarakan perkara ini dan Perdana Menteri mempunyai tanggungjawab untuk berusaha agar pandangan ini dapat dilaksanakan.

Timbul persoalan, adakah pandangan Yang di-Pertuan Agong ini berbeza dengan perancangan Perdana Menteri untuk mengadakan sidang pada bulan September atau Oktober iaitu dalam Fasa ke 3, Pelan Pemulihan Negara. 

Pada dasarnya tarikh persidangan yang dicadangkan oleh kerajaan itu agak lewat iaitu dalam tempoh tiga bulan akan datang. Oleh yang demikian Perdana Menteri sewajarnya kembali mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi membuat rundingan agar persidangan dapat diadakan lebih awal dengan hasrat untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat, seperti yang diharapkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembangaan)
Universiti Teknologi Malaysia – HARAKAHDAILY 17/6/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. 

- Advertisement -