Peperiksaan: KPM ada piawaian tentu prestasi pelajar

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ada kaedah dan piawaian tertentu dalam menentukan prestasi pelajar pada setiap peperiksaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, tidak timbul soal tidak telus atau seumpamanya berkaitan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru ini.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ada kaedah dan piawaian sendiri dalam menentukan prestasi pelajar pada setiap peperiksaan,” katanya di sini.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung keputusan SPM 2020 yang menimbulkan beberapa persoalan.

Antaranya keputusan pelajar lebih cemerlang biar pun guru dan pelajar berdepan kesukaran sepanjang tahun lalu akibat pandemik Covid-19.

Malah perkara itu juga dilontar pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad.

Menurutnya tiga persoalan utama menjadi tanda tanya masyarakat kerana SPM 2020 merekodkan pencapaian Gred Purata Nasional (GPN) bertambah baik iaitu 4.80 berbanding 4.86 pada 2019.

Dr Mohamed Fadzli berkata, biarpun belajar berdepan dengan kekangan belajar secara fizikal memandangkan wabak Covid-19, namun Pengajaran Dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan.

“Pelajar tetap belajar walaupun melalui kaedah PdpR. Malah sekarang pelajar juga didapati sudah boleh menyesuaikan diri dengan kaedah PdPR,” katanya.

Menurutnya juga pelajar yang akan menduduki SPM 2021 mempunyai masa yang agak panjang membuat persediaan memandangkan peperiksaan SPM 2020 akan diadakan pada awal tahun hadapan.

Kementerian Pendidikan sebelum ini mengumumkan calon SPM 2021 akan menduduki peperiksaan itu pada tahun depan.

Menteri Kanan (Pendidikan) Dato’ Dr Radzi Jidin memberitahu ujian lisan dan amali Sains akan dilaksanakan pada Februari 2022, manakala peperiksaan bertulis akan bermula Mac 2022. – HARAKAHDAILY 17/6/2021

- Advertisement -