PAS junjung titah pelihara kelestarian Tasik Chini

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mesti menjadi komitmen seluruh rakyat dan pimpinan.

Usaha memastikan alam sekitar di negeri ini sentiasa terjaga yang dititahkan baginda menuntut kebertanggungjawaban bersama semua pihak untuk turut sama mengambil berat dan memantau kelestariannya.

- Advertisement -

ADUN Beserah, Andansura Rabu yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang mewakili parti ini menjunjung kasih atas titah tersebut menunjukkan betapa cakna baginda kepada isu setempat dan alam sekitar.

“Seluruh rakyat dan pimpinan negeri mesti komited dalam memelihara perkara berkaitan alam sekitar untuk generasi akan datang. Kita minta titah baginda dapat dilaksanakan segera dan penuh iltizam,” ujarnya.

Baginda menitahkan untuk semua pihak bekerjasama menjaga kawasan Tasik Chini agar keindahan flora dan fauna serta penempatan Orang Asli di situ terus terpelihara daripada pencemaran.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Alam Sekitar dan Air turut dititah baginda agar memberi keutamaan peruntukan kewangan dan pembangunan untuk kelestarian tasik itu yang telah diberi status Tapak Rizab Biosfera UNESCO.

Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dalam pada itu memberitahu bahawa baginda juga menitahkan supaya aktiviti perlombongan di situ dihentikan dan kawasan itu dipulihkan. – HARAKAHDAILY 17/6/2021

- Advertisement -