Menteri dihargai rancak program imunisasi di Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kalau sebelum ini setiap kali menteri Kabinet datang ke Kelantan, tidak ramai yang sudi bertandang ke Kota Darulnaim bagi mengunjungi hormat tuan rumah.

Situasi itu berlaku sejak 1990 sehingga Februari 2020. Bagaimanapun selepas Perikata Nasional (PN) mengambil alih teraju Putrajaya pada 1 Mac 2020, situasi itu tiba-tiba berubah.

Selepas itu hampir setiap menteri yang berkunjung ke Kelantan akan mengunjungi hormat terlebih dahulu Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dan anggota-anggota Exco.

- Advertisement -

Malah tahun lepas Disember lepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berkunjung ke Kelantan dan bersama Menteri Besar menemui mangsa banjir di Rantau Panjang.

Dan hari ini pula Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkunjung ke Kota Darulnaim.

“Alhamdulillah saya berbesar hati menerima kunjungan hormat YB Menteri Penyelaras Badan Bertindak Imunisasi Covid-19.

“Kunjungan hormat tersebut sempena lawatan kerja rasmi menteri ke Kelantan bagi meninjau Program Imunisasi Covid-19 peringkat negeri,” kata Menteri Besar pada hantaran di laman sosialnya hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri MOSTI Dato’ Ahmad Amzad Hashim, Penasihat Khas Perdana Menteri Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, Ketua Setiausaha MOSTI Dato’ Ir Dr Siti Hamisah Tapsir dan anggota Exco Kerajaan Negeri Dr Izani Husin.

Menteri Besar turut merakam ucapan terima kasih kepada menteri dan delegasi MOSTI atas kerjasama dalam usaha menjayakan Program Imunisasi Covid-19 peringkat negeri Kelantan. – HARAKAHDAILY 17/6/2021

- Advertisement -