Kristian: Falsafah zaman Dark Ages sehingga Renaissance

- Advertisement -

SEJARAH kemunculan Kristian boleh dikatakan bermula dengan orang-orang Yahudi yang terkesan dengan Hellenistik, sehingga lahirnya ahli-ahli teologi mereka. Antara yang terawal cuba mencampuradukkan ajaran kepercayaan agama Yahudi, dengan Falsafah Yunani (Hellenistik) ialah Aristobulus of Alexandria (160 SM).

Zaman berikutnya muncul tokoh masyhur ialah Philo (20SM-50M) yang cuba menggabungkan idea-idea Plato dengan ajaran Yahudi. Philo mengasaskan Neo-Platonisme menurut sebahagian pendapat, dengan berteraskan kepada idea dualisme Plato, konsep logos Heraclitus dan Stoitisisme atau Stoicism.

- Advertisement -

Ajaran ini memberi kesan kepada Paulus (5-67M) yang merupakan seorang penganut Yahudi, dan mendorong beliau untuk ‘mencipta’ agama baru. Apatah lagi Paulus memang berasal dari Tarsus yang merupakan daerah tercetusnya Stoicism yang diasaskan oleh Zeno. Paulus dikenali sebagai seorang yang gila. Bukan sekadar itu, beliau mendakwa beliau pernah bertemu dengan Nabi Isa A.S dan dikatakan memperolehi mimpi-mimpi bertemu dengannya.

Kemudian ajaran-ajaran yang direkanya itu cuba disandarkan kepada ajaran Nabi Isa A.S, dan disebarkan. Disebabkan ‘claim’nya itu, ajarannya dipercayai dan diterima masyarakat. Ajaran beliau semakin mendapat sambutan. Antara faktornya ialah suburnya ajaran Paulus, ialah suburnya fahaman Neo-Platonisme.

Ajaran Nabi Isa A.S asalnya tiada nama khusus, sehinggalah selepas Baginda A.S diangkat oleh Allah S.W.T, para penganut ajaran itu menamakannya dengan al Maseh atau Christian (Bahasa Inggeris). Ia bermaksud Juru Selamat, dengan anggapan al Maseh akan datang menyelamatkan mereka daripada belenggu perhambaan, penindasan dan cengkaman bangsa-bangsa lain 

Antara yang dikenali sebagai anak murid Nabi Isa A.S ialah Barnabas. Disebut dalam Bible (Kisah Para Rasul 11:19-26) bahawa Barnabas pergi ke Tarsus menemui Paulus, dan dibawa ke Antioch. Di sinilah dikatakan bermulanya istilah Kristian itu muncul. Gereja didirikan di beberapa buah tempat. Antara yang lahir dari Antioch ini ialah Ignatius Epistle (108 M) yang mula menggunakan istilah Katholik.

Ajaran Philo tadi diwarisi oleh Ammonius Saccas (175-242 M). Bukan sekadar itu, sebelum Saccas lagi sudah wujud beberapa agamawan Yahudi (penganut) semacam Philo yang turut terkesan dengan Hellenistik. Antaranya Josephus (37-100) yang mengemukakan istilah Teokrasi sebagai penambahan terhadap Falsafah Yunani Klasik.

Antara penganut Kristian terawal yang menggunakan falsafah Yunani juga ialah Justine Martyr (100-165). Kemudian diteruskan oleh Clement of Alexandria (150-215 M) dan Origen (185-254 M). Saccas melahirkan Plotinus (204-270 M).

Selepas 200 Masihi boleh dikatakan ajaran Philo tadi mendapat sambutan hangat, menjadikan ajaran-ajaran Kristian juga semakin subur diamalkan. Namun ia mendapat tentangan pemerintah Rom. Penganut-penganutnya banyak yang ditindas. Namun pemerintah Rom tidak mampu menyekatnya sehinggalah bilangan mereka menjadi ramai. 

Antara rekod-rekod kekejaman terhadap penganut-penganut ajaran Kristian ini ialah Tiberius (14-37 M), Maharaja Nero (54-68 M), Trojan (98-117 M), Marcus Aurelius (167-180 M), Decius (249-252 M) dan Diocletian (284-305 M). Di zaman Diocletian, mereka yang menganut ajaran-ajaran agama itu dipaksa untuk memujanya dan merayakan 25 Disember sebagai tarikh kelahirannya.

Pada zaman Maxentius (276-312 M) berlakunya pergolakan dalaman antara beliau dengan Costantine (272-337 M). Setelah menjatuhkan Maxentius pada 312 M, Costantine melaksanakan dasar toleransi bagi menjaga survivalpolitiknya. Penganut-penganut ajaran Kristian yang semakin ramai perlu ditarik sokongan mereka.

Antara yang disebut oleh Michael Baigent dalam buku The Messianic Legacy (1994);

“In fact, Costantine’s attitude towards Christianity seems to have been primarily a matter of expediency for Christians by then were numerous in the Empire and he needed all the support he could muster against Maxentius, his rival for the imperial throne”

Ajaran yang dibawa oleh Philo, Paulus dan para ahli teologi tadi akhirnya melahirkan ajaran Kristian pelbagai aliran. Masing-masing mendakwa membawa ajaran-ajaran Nabi Isa A.S. Perselisihan ini berterusan sehinggalah Costantine mengadakan persidangan di Nicaea pada 325M dan memutuskan mazhab (aliran) Paulus sebagai aliran rasmi Kerajaan Rom 

Ia bertujuan menyelesaikan konflik teologi ajaran Kristian antara pelbagai puak yang bertentangan. Kemudian pada zaman Theodosius (347-395 M) agama Kristian sebagai agama rasmi. Istilah Katholik yang membawa maksud ‘universal’ telah digunapakai sebagai maksud aliran yang dibawa oleh Paulus tadi.

Bermula era ini, Kristian Katholik menjadi kepercayaan utama masyarakat Rom. Ajaran Kristian mendapat tempat di sini pemerintah. Ketika ini muncullah seorang paderi masyhur, iaitu St Augustine (345-430 M). Beliau juga antara yang terpengaruh dengan aliran Stoicism dan Neo-platonisme, dan kagum dengan karya Plotinus. Dalam buku ‘A History Of Western Philosphy’, Bertrand Russel ada menyatakan bahawa beberapa penulisan awal Augustine terdapatnya unsur Neo-platonism. 

St Augustine dilihat sebagai individu terawal yang meletakkan dasar-dasar penindasan atas nama agama, iaitu dengan menyandarkannya kepada teks Bible. Antaranya yang disebut dalam buku ‘Augustine and Liberal Education’yang disediakan oleh Kim Paffenroth dan Kevin L. Huges mengenai hukuman-hukuman terhadap pelanggaran ketetapan agama Kristian.

Beberapa puluh tahun selepas kematian beliau, gereja menerapkan satu pengawasan yang ketat terhadap percetakan, sebagai tanda memerangi unsur pelanggaran terhadap agama Kristian. Ketika itu gereja telah mengeluarkan daftar pertama buku-buku yang haram dibaca oleh penganut Kristian.

Pada zaman Pope Gregory I (540-604 M) yang dikenali sebagai ‘The Great’ mula membangunkan birokrasi dan kekuasaan ke’pope’an (papacy’s power). Beliau menggunakan method pengurusan Rom untuk menghasilkan gereja-gereja di Itali, Sicily dan sebagainya.

Beliau memperkukuhkan autoriti Pope bagi para paderi. Beberapa projek yang dilakukan dari sudut strategik, sehingga dikenali sebagai ‘creator of the political power of the Popers’. Selepas zaman itu, kekuasaan ‘Pope’ semakin berkembang, sehinggalah zaman Raja Pepin (714-768 M). 

Hasil kerjasama Pope Stephen III (720-772 M) ketika itu dengan Raja Pepin, berjaya mendirikan Kerajaan Pope (Papal States). Ia diteruskan lagi oleh Pope Leo III (750-816 M) yang memperlihatkan pengaruh besar gereja ke atas pemerintahan politik, iaitu dengan mengangkat anak Pepin, Charlemagne (742-814 M) sebagai Emperor of Romans. Di sinilah detik perpindahan Kekuasaan Rom Timur, ke Barat.

Ketika ini institusi gereja dilihat sangat berpengaruh. Ketika ini jugalah permulaan kepada zaman Falsafah Skolastik. Pada peringkat awalnya ia lebih kepada meneruskan tradisi Neo-platonisme yang dikembangkan oleh Augustine tadi. Ia dikembangkan dalam istana-istana oleh Charlemagne.

Tokoh terkemuka ketika itu antaranya Alcuin dari York (735-804) yang merupakan paderi. Beliau turut mempunyai hubungan dengan Charlemagne. Ketokohan beliau disambung oleh John Scotus Eriugena (810-877 M), yang boleh dikatakan lahir daripada Falsafah Skolastik. Beliau antara penganut fahaman Augustine dan Neo-Platonisme.

Falsafah-falsafah era itu tertumpu kepada pendalilan daripada Bible. Atau lebih mudah faham sebagai Teologi. Bahkan agamawan-agamawan Kristian seperti ini turut diberi kedudukan yang tinggi dalam pemerintahan Rom. Ketetapan-ketetapan gereja dianggap sebagai undang-undang rasmi kerajaan yang mesti dipatuhi. 

Dalam masa yang sama, Kristian itu dijadikan sandaran untuk melakukan kekejaman atas nama agama. Antaranya dalam rekod Perang Salib I-VIII yang berlangsung selama 200 tahun. Pope Urban II (1035-1099 M) mengisytiharkan bahawa beliau diberi mandat oleh tuhan untuk mengampunkan dosa semua yang terlibat dalam ‘perang suci’ itu. Slogan perang ketika itu ‘Ini Kehendak Tuhan’.

Dalam rekod perang tersebut, mereka menyembelih 70,000 orang Islam selama 3 hari tanpa mengira usia dan jantina, atas tujuan mendekatkan diri kepada tuhan. Para paderi pula mengungkap dalil-dalil daripada Bible, antaranya Mazmur 58 : 10-11 sebagai menyokong tindakan tidak berperikemanusiaan itu.

Golongan agamawan Kristian yang dianggap manusia suci, mendapat tempat dalam pemerintahan negara, semakin terarah ke arah Feudalisme. Contohnya pada pertengahan abad ke-11, pihak gereja menggunakan kekuatan senjata untuk menghukum orang-orang yang dianggap oleh mereka sebagai ‘kafir’.

Antara hukuman yang dikenakan kepada mereka seperti menyita harta mereka, membuang, merobohkan rumah, dan menyekat daripada memperolehi hak-hak sivil. Sampai ke tahap siasatan Medieval Inquisition (penyiasatan atau pengadilan) sekitar 1184, Episcopal Inquisition (1184-1230).

Dalam The New Encyclopedia Britannica menjelaskan maksud inkuisisi ini sebagai hukum yang dibentuk untuk membenteras kaum Herectic. Herectic merujuk kepada golongan yang dicop sebagai pesalah bagi pelaku bid’ah terhadap agama Kristian, yang bakal dihukum mati. 

Pada 1212, Pope Gregory IX telah mengeluarkan satu keputusan untuk membakar mereka yang melakukan bid’ah dan para pengikut mereka. Gereja dianggap sebagai wakil Jesus (Vicar of Christ) dengan wajah yang dahsyat. Inkuisisi ini sekali gus menghapuskan kebebasan beragama dan kebebasan berfikir. Secara umumnya, mahkamah ini secara rasmi ditubuhkan oleh Pope Innocent III (1161-1216 M) hasil Sidang Lateran IV pada 1215.

Golongan Herectic yang biasa jadi mangsa penyeksaan mahkamah ini ialah orang Yahudi Khazar (Cathar). Cecil Roth menyatakan dalam ‘A History of The Jews in England’ bahawa golongan dianggap sebagai kaum Marrano, iaitu orang Yahudi yang menyamar sebagai penganut Katholik. 

Dalam ajaran orang-orang Khazar, mereka berpegang bahawa Jesus bukanlah tuhan, sebaliknya malaikat. Mereka mengatakan bahawa tuhan yang jahat telah menciptakan gereja, yang menzahirkan sihir-sihirnya demi kekuasaan dan kekayaan, serta memperhambakan manusia. 

Golongan ini tidak dapat disedarkan oleh mereka agar bertaubat, lalu jalan yang diambil Pope Innocent III ialah menggunakan kekerasan. Ribuan orang dibunuh. Peristiwa ini dikenali sebagai ‘Albigensian Crusade’. Peristiwa kekejaman atas nama agama yang dilakukan terhadap orang-orang Khazar ini berlaku antara 1209 hingga 1244. Seramai 20,000 orang mangsa kekejaman tanpa mengira umur.

Pope Innocent IV (1195-1254 M) turut melaksanakan kekejaman yang sama. Richard McBrien menulis dalam buku ‘Chatolicism’ (1994);

“In 1252 Pope Innocent IV (d. 1254) authorized the use of torture to secure proof of heresy. By all reasonable standards, the inquisition was one of the shabbiest chapters in the entire history of the Church.”

Tindakan kekerasan atas nama ‘crusade’ ini pada zahirnya dikatakan penghapusan yang dilakukan oleh institusi gereja terhadap Herectic. Namun hakikatnya ia lebih kepada penjagaan terhadap kekuasaan (hegemoni) gereja. Ini kerana gereja ketika itu bukan sekadar institusi keagamaan, tetapi sebagai sebuah kekuasaan (power).

Sejak zaman Augustine yang dikatakan mula mencetuskan penindasan atas nama agama yang diceritakan tadi, sehinggalah abad ke-13 perkembangan falsafah terlalu lembab. Bahkan sebahagian pengkaji menyatakan bahawa antara abad ke-5 hingga abad ke-9 adalah tempoh yang boleh dikatakan tiada falsafah. 

Kemunculan awal Falsafah Skolastik yang ada diceritakan tadi juga tidaklah secara besar-besaran. Hanya tertumpu kepada pendidikan dalam istana, di beberapa buah tempat sahaja. Namun, bermula abad ke-13, Falsafah Skolastik semakin memuncak dan mendapat sambutan. 

Harun Hadiwijono menyatakan dalam bukunya ‘Sari Sejarah Filsafat Barat 1’ (1980) bahawa Falsafah Skolastik mula timbul di biara-biara tertua di Galia Selatan, kemudian tersebar ke beberapa buah negara di Eropah seperti Ireland, Belanda dan Jerman. Kemudian ia timbul di sekolah sekolah yang dikaitkan dengan gereja.

Sekolah-sekolah falsafah ini dipimpin oleh gereja, dan perbincangannya sekitar agama-falsafah. Para paderi dan biarawan dianggap sebagai ahli falsafah. Falsafah Skolastik boleh dikatakan lebih cenderung kepada pemikiran Aristotle. Hasilan tokoh-tokoh falsafah zaman ini diterima oleh Gereja kerana ia dilihat sebagai satu huraian terhadap ajaran Kristian. 

Contohnya Thomas Aquinas (1225-1274) yang mana alirannya menjadi pegangan rasmi gereja kerana keunikan yang ada padanya. Dikatakan juga beliau terkesan dengan Aristotle dan Imam al Ghazali. Jostein Gaarder dalam ‘Sophie’s World’ menyatakan bahawa kejayaan Aquinas ialah berjaya ‘mengkristiankan’ pemikiran Aristotle sepertimana Augustine berjaya ‘mengkristiankan’ pemikiran Plato.

Ketika itu berlakunya kontroversi teologi antara dua kelompok;

1. Ahli Teologi Kristian di Paris yang dipengaruhi oleh Falsafah Ibn Rusyd.

2. Ahli Teologi Augustinus Konservatif.

Antara tokoh-tokoh lain seperti Roger Bacon (1214-1292), Boaventura (1221-1274), Albert Magnus (1200-1280), Siger dari Brabant (1240-1285), John Duns Scotus (1265-1308), William dari Ockham (1280-1347), Meister Eckhart (1260-1327), Nicholas dari Cusa (1401-1464) dan ramai lagi. 

Hal-hal mistik, ketuhanan, unsur alam banyak dibahaskan oleh mereka sehingga membentuk beberapa aliran seperti Thomisme, Scotisme, Occamisme dan lain-lain. Bukan sekadar itu, suasana Falsafah Skolastik juga turut dipengaruhi oleh Falsafah Islam sepertimana pengaruh Imam Al Ghazali dan Ibn Rusyd.

Antaranya ialah Raymund Lull (1232-1315 M) dan Raymund Martin (mati 1284) yang merupakan penulis Spanyol telah membawa masuk Falsafah Islam ke dunia Eropah. Atas perintah ketua-ketua gereja, terbinalah sekolah pertama di Toledo untuk melahirkan para orientalis Barat. Banyak lagi contoh-contoh yang boleh diketengahkan dalam hal ini seperti di Sepanyol, Sicily dan sebagainya. 

Drs Surajiyo menyatakan di dalam bukunya ‘Ipmu Filsafat Suatu Pengantar’ membahagikan Falsafah Skolastik itu menjadi 3 zaman;

1. Abad ke-8 hingga 12 Masihi: Perbincangan lebih tertumpu kepada universal. Fahaman Augustine dan Neo-platonisme menjadi rujukan utama. Hangat membincangkan mengenai pembuktian kewujudan tuhan. Pada abad ke-12 membincangkan mengenai falsafah alam, sejarah, mistik dan sebagainya.

2. Abad ke-13: Fasa kejayaan perkembangan Falsafah Skolastik. Banyak dipengaruhi pemikiran Aristotle. Termasuk Falsafah Islam dan Yahudi. Ketika inilah terbinanya universiti-universiti seperti Bologna (Itali), Paris (Perancis), Oxford (Inggeris) dan sebagainya. Menjadikan agama Kristian sangat harmoni dengan Falsafah Yunani 

3. Abad ke-14 dan 15: Fasa berakhirnya Falsafah Skolastik yang banyak dipengaruhi oleh Falsafah Islam. Ketika ini muncullah konflik-konflik pertembungan antara falsafah dan agama. Antaranya hal-hal yang bersifat Dogmatisme. William Ochan antara yang membela agama, dan menyatakan bahawa tuhan itu harus diterima atas dasar iman, bukannya pembuktian secara rasional (akal).

Daripada Balliol College, Oxford, lahirlah John Wycliffe (1330-1384) yang dilihat agak melawan arus. Beliau memprotes doktrin kekuasaan Pope, lantas Gereja Katholik Rom memusnahkan semua tulisan tulisannya. Beliau telah mempengaruhi John Huss (1373-1415) di Bohemia dan muridnya Jerome of Prague (1379-1416). Kedua-dua individu ini dijatuhkan hukuman dibakar hidup-hidup atas perintah gereja. 

Pada abad ke-14 hingga 16 dunia Eropah berhadapan dengan pertembungan ideologi yang hebat. Ada yang menyatakan ia bertitik tolak daripada Zaman Pertengahan apabila mereka sudah mula membincangkan mengenai falsafah yang dikaitkan dengan Pemikiran Aristotle. Ada yang menyatakan ia bermula apabila Falsafah Islam mula menyerap ke dunia Barat. Ada juga yang mengaitkan dengan pertubuhan rahsia orang Yahudi.

Sepertimana yang diceritakan, suasana pemerintahan bergereja yang sarat dengan Dogmatisme ketika itu, memaksa kepada perbincangan yang lebih terbuka dan bebas. Rata-rata mengatakan munculnya aliran Humanisme yang meletakkan manusia itu ‘berdiri sendiri’ dan tidak perlu bersandar pada tuhan.

Aliran Humanisme dikatakan sebagai pemberontakan pertama terhadap kongkongan gereja terhadap ilmu pengetahuan. Tokoh tokoh utama yang menyeru ke arah humanisme ini seperti Leornado da Vinci (1452-1519 M), Erasmus of Rotterdam (1466-1536 M) Picco della Mirandola (1463-1494), Thomas Moore (1478-1535 M), Nicollo Machiavelli (1469-1527 M).

Bukan sekadar itu, protes terhadap gereja yang diceritakan tadi menjadi berterusan. Antaranya Desiderius Erasmus (1466-1536 M). Beliau juga seorang paderi yang terpengaruh dengan aliran Humanisme. Anak muridnya, Damiao de Gois (1502-1574) juga dituduh hal yang sama, dan akhirnya mati dalam keadaan misteri.

Antara yang muncul sebagai tokoh memprotes gereja ini ialah Martin Luther (1483-1546 M). Beliau ada mengulas karya Desiderius Erasmus. Beliau memprotes penyelewengan yang dilakukan oleh para paderi terhadap ajaran Kristian yang sebenar. Pengikut-pengikutnya diisytiharkan ‘murtad’ oleh Gereja dan dibakar hidup-hidup.

Machiavelli yang berada di Itali juga turut menerima nasib yang sama. Beliau dilabel sebagai Old Nick oleh gereja kerana fahamannya yang bertentangan dengan gereja. Bukunya yang diharamkan, ia ditulis tanpa tajuk pada 1513. Setelah 5 tahun kematiannya penerbit meletakkan tajuk The Prince.

Sayyid Qutb menyatakan di dalam المستقبل لهذا الدين  bahawa kejatuhan Kristian Katolik merupakan satu catatan sejarah penting bahawa kepincangan berlaku dalam dunia Barat. Beliau menyatakan bahawa rakyat yang dibunuh sahaja seramai 300,000 orang, manakala ribuan dari kalangan mereka dibakar hidup hidup atas istilah ‘jangan setitik darah pun jatuh ke bumi’.

Era inilah bermulanya Reinassance yang sangat dibanggakan oleh Barat. Hakikatnya ia tidak terhenti di saat itu. Kecamukan ideologi mereka berterusan sehinggalah ke zaman-zaman berikutnya.

MUHAMMAD MUJAHID BIN IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 17/6/2021

- Advertisement -