JAM Setiawangsa marathon sanitasi kawasan perumahan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Amal Malaysia (JAM) Setiawangsa dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) bekerjasama menjalankan aktiviti sanitasi kawasan perumahan awam di sini.

Antara lokasi terlibat adalah Perumahan Awam Seksyen 10, Surau Darul Huda Seksyen 10, Pangsapuri Andika, Pangsapuri Mahsuri, Pangsapuri Intan, Apartment Sri Ayu, Pangsapuri ATM, Surau An-Nur dan Surau Ar Rasyidin, Puncak Setiawangsa.

Menurut Ketua Pemuda PAS Setiawangsa, Ustaz Anas Fitri Che Man, ketika kes Covid-19 sedang masih di paras membimbangkan, Jabatan Amal Dewan Pemuda PAS Setiawangsa terus mara bersama masyarakat dalam usaha membasmi Covid-19 dengan semaksimum mungkin.

- Advertisement -

Katanya, program dijalankan bermula 26 Mei lalu sehingga 12 Jun dengan kerjasama MPPWP Subzon 3 Setiawangsa dan persatuan-persatuan penduduk dengan menfokuskan kawasan -kawasan yang tinggi kes Covid-19.

“Program ini mendapat sambutan baik daripada masyarakat khususnya dalam memastikan kawasan kediaman mereka kurang risiko merebaknya Covid-19.

“Program sebegini akan diteruskan lagi dalam tempoh PKP ini bagi membantu pihak kerajaan menurunkan kadar kes Covid-19 dalam masa yang sama menaikkan kesedaran penduduk untuk mengutamakan kebersihan.

“Pihak rakan kerjasama strategik diwakili oleh Ustaz Ubaid Akla, Pengerusi MPPWP Subzon 3 dan pengerusi setiap persatuan penduduk amat berterima kasih kepada pihak Jabatan Amal Setiawangsa yang cekap dan pantas melaksanakan tugas.

“Dalam masa seminggu sahaja banyak kawasan telah dinyahkuman,” ujarnya.

Turut mengetuai marathon sanitasi itu adalah dirinya sendiri bersama Komandan JAM Setiawangsa, Ustaz Subhan Djupri, katanya. – HARAKAHDAILY 17/6/2021

- Advertisement -