ADUN Jengka sumbang tiga kerusi roda ke PPV

- Advertisement -

KUALA KRAU: ADUN Jengka, Ustaz Shahril Azman Abdul Halim telah menyumbangkan tiga kerusi roda ke Pegawai Perubatan, Dr Mohd Faizal Mohd Arif di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Bandar Tun Abdul Razak, di sini.

- Advertisement -

Pemberian tersebut sebagai menyatakan sokongan kepada usaha kelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang terletak dalam Bandar Jengka ini iaitu kira-kira 30 kilometer dari Bandar Maran.

Kehadiran beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krau telah diiringi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Jengka, Rohaya Razali yang juga Ketua Muslimat PAS Kuala Krau, semalam.

Menurut Ustaz Shahril, pemberian kerusi roda ini bertujuan membantu kalangan penerima suntikan vaksin yang uzur dan berusia ketika mana mereka berurusan untuk mendapatkan suntikan di PPV ini.

“Kerusi roda yang sedia ada tidak mencukupi untuk menampung kehadiran pesakit yang semakin meningkat jumlahnya,” ujar beliau.

Kebanyakan PPV di seluruh negara puratanya memberi suntikan kepada sekitar 600 penerima sehari dan bakal meningkat sekali ganda dalam masa terdekat apabila bekalan vaksin baharu tiba lagi.

Pihak Hospital Jengka dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada Ustaz Shahril atas sumbangan yang menunjukkan keprihatinan beliau itu. – HARAKAHDAILY 17/6/2021

- Advertisement -