Wajar industri dibenar operasi 50 peratus pekerja divaksin

Prof Madya Dr Malina Osman
- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU: Kerajaan wajar membenarkan sektor ekonomi beroperasi jika lebih 50 peratus pekerja sudah menerima vaksin Covid-19 tanpa menunggu fasa ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman berkata, golongan pekerja perlu diutamakan dalam program itu bukan hanya kumpulan yang berisiko dijangkiti wabak sahaja.

- Advertisement -

Katanya langkah itu bagi menjamin pertumbuhan ekonomi negara serta sektor perkhidmatan kesihatan awam dipantau perkembangannya, di samping meningkatkan kadar penerimaan rakyat terhadap program imuniti.

“Untuk itu saya cadangkan supaya syarikat dan organisasi yang mana kakitangannya divaksin lebih dari 50 peratus sepatutnya dibenarkan dibuka, maksudnya tidak perlu tunggu untuk fasa dua,” katanya pada Ruang Bicara secara langsung di Bernama TV malam tadi.

Petang semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membentang ‘Pelan Pemulihan Negara Demi Menang Bersama’ yang meliputi empat fasa.

PICK akan dibuka kepada pengiat industri apabila fasa ketiga dibuka.

Dr Malina turut mencadangkan supaya fasa tersebut dipercepatkan kerana ia melibatkan rakyat yang berusia 18 tahun ke atas dan kelompok terbabit dikenal pasti sebagai golongan yang paling aktif bergerak.

Dalam pada itu beliau, menyifatkan pemberian vaksin berjalan lancar dengan jumlah penerimanya kini melepasi 200,000 sehari.

Beliau menjangkakan jumlah itu terus meningkat sehingga enam juta dalam tempoh 30 hari.

Menurutnya juga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) berbeza dengan PKP 1.0 yang dilaksanakan awal tahun lalu bagi menyekat penularan wabak Covid-19.

“PKP kali ini tumpuan utamanya ialah menjaga kesihatan awam untuk menyelamatkan nyawa rakyat, sebab itu kita perhatikan kes kematian Covid-19 meningkat secara mendadak, lebih 100 orang dalam sehari.

“Situasi ini amat membimbangkan dan dalam masa sama Unit Rawatan Rapi (ICU) dan bahagian kecemasan di pusat kesihatan kita pun berada dalam keadaan tertekan kerana peningkatan kes setiap hari,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/6/2021

- Advertisement -