Terminal Feri Kuala Kedah beroperasi semula

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Terminal Feri Kuala Kedah akan kembali beroperasi hari ini sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan DiPerketatkan (PKPD) Daerah Kota Setar tamat pada tengah malam tadi.

Menurut Jabatan Laut Malaysia (JLM), keputusan itu dibuat selaras kenyataan Kementerian Pengangkutan yang dikeluarkan 31 Mei lalu, membenarkan semua pengendali pengangkutan awam laut termasuk operator feri penumpang beroperasi.

- Advertisement -

Sungguhpun begitu katanya, pengusaha feri perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan syarat-syarat yang dikenakan dipatuhi.

“Antaranya jumlah kapasiti penumpang hanya 50 peratus dibenarkan bagi setiap perjalanan feri untuk mengelak kesesakan di terminal feri,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya juga, semua penumpang dikehendak patuh SOP termasuk memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan lain-lain yang berkaitan.

Perkhidmatan Feri Kuala Kedah sebelum ini dihentikan sementara ekoran pelaksanaan PKPD Daerah Kota Setar yang bermula 19 Mei lalu.

Bagaimanapun JLM sebelum ini memaklumkan perkhidmatan kargo antara Kuala Kedah ke Langkawi beroperasi seperti yang dijadualkan. – HARAKAHDAILY 16/6/2021

- Advertisement -