Terima kasih NGO pelihara kesucian agama Islam

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkilfli Mohamad Al-Bakri mengucapkan terima kasih kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO-NGO) yang sentiasa berusaha memelihara kesucian agama Islam.

Advertisement

Menurutnya, umum mengetahui insiden yang berlaku baru-baru ini yang melibatkan sensitiviti keagamaan.

“Pihak berkuasa telah menjalankan siasatan dan kita sedia menanti keputusannya.
“Malaysia bukanlah baru berumur setahun jagung. Kita sudah hidup lebih 60 tahun Bersama,” ujarnya menerusi hantaran di laman Facebook beliau, semalam.

Tambahnya, jika diumpamakan seperti manusia, sudah memutih uban di kepala, amat luas ilmu dan pengalamannya.

Beliau berkata, semangat muhibbah yang telah bina puluhan tahun sudah pasti tidak mudah dirobohkan hanya kerana satu dua isu.

Namun, katanya isu yang dipandang remeh itulah kadangkala boleh mencetuskan api yang amat marak.

“Hal inilah yang memerlukan kebijaksanaan dalam mempertimbangkan isu dan permasalahan.
“Bagai menghela rambut dalam tepung. Rambut jangan putus, tepung jangan berserak.
Tali jangan putus, kaitan jangan serkah.

“Bagai menghela tali jala. Rasa tegang dikendurkan, rasa kendur ditegangkan,” katanya lagi.
Tambahnya, perbezaan adalah lumrah manusia.

“Kita ada hati, akal dan pengalaman yang sudah pasti membentuk sudut pandang yang berbeza dalam 1001 perkara,” katanya.

Bagi beliau, bersetuju untuk tidak bersetuju (agree to disagree) adalah selamanya ramuan yang terbaik dalam menguruskan sebarang bentuk perbezaan.

“Sebagaimana bola dan kedai mamak boleh menyatukan semua bangsa tanpa mengira latar belakang politik, pendidikan dan warna kulit, saya fikir kita juga ada pelbagai bentuk alasan untuk terus hidup dalam semangat muhibbah, dari memilih untuk berseteru dan menimbulkan provokasi pada prinsip-prinsip utama agama.

“Terima kasih atas keprihatian NGO-NGO yang sentiasa berusaha memelihara kesucian agama Islam dan dalam masa yang sama, mengukuhkan hubungan persefahaman antara kaum dan agama,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menyediakan kertas kerja dalam masa terdekat berkenaan isu penghinaan kepada agama Islam untuk dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja. – HARAKAHDAILY 16/6/2021