Tak sakit pun suntik vaksin Covid-19 – OKU

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Kerajaan Perlis menyasarkan dapat mencapai imuniti kelompok menjelang Disember tahun ini.

Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Perlis Azman Mohd Yusof berkata, jika dilihat pendaftaran Perlis sudah menjangkau 105,000 orang setakat semalam.

Katanya mungkin hari ini akan bertambah lagi memandangkan orang ramai semakin bersemangat buat pendaftaran program vaksinasi.

- Advertisement -

“Kita akan pastikan kerancakan sekarang berterusan sehingga mencapai imuniti kelompok di mana sasaran seramai 188,000 daripada 250,000 keseluruhan penduduk Perlis pada Disember depan.

“Sasaran itu berdasarkan lima strategi yang dirangka kerajaan negeri bersama CITF yang sedang dan telah dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

“Program Vaksinasi Bergerak mendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di mana agensi berkenaan sebagai penyelia Pusat Pemulihan Dalam Kominiti (PDK) di negeri ini,” katanya ketika lawatan ke PDK Jauhar Jannah semalam.

Azman yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, PDK itu merupakan yang pertama menggunakan khidmat vaksinasi bergerak melibatkan 48 Orang Kurang Upaya (OKU) dan ibu dan bapa mereka.

Katanya, program serupa akan diadakan di sembilan PDK di Perlis yang dijangka selesai pada akhir bulan ini dalam menjayakan proses vaksinasi dalam kalangan OKU.

Sementara itu seorang OKU pembelajaran, Mohd Syazren Karim, 25 berkata beliau lebih selesa mendapat disuntik di PDK kerana tidak tidak perlu bersesak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Saya selesa lebih mudah dan boleh bersama dengan mak ketika menerima suntikan. Suntik tak sakit dan tak takut pun..” katanya ketika ditemui.

Manakala ibunya Sabariah Ibrahim, 60 yang turut hadir memberitahu masih menunggu tarikh untuk mendapatkan suntikan tersebut.

Turut menerima suntikan Loo Pei Feng, 30. Beliau ditemani ibunya Loo Chin Eian, 60.

Chin Eian berkata, lebih mudah mendapat suntikan di PDK kerana anaknya tidak suka pakai pelitup muka. Beliau juga sudah selesai mendapat dua dos suntikan vaksin. – HARAKAHDAILY 16/6/2021

- Advertisement -