Pelan pemulihan: Strategi peralihan keluar kemelut Covid-19

Prof Madya Dr Malina Osman
- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR:
Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Malina Osman optimis terhadap usaha kerajaan melalui Pelan Pemulihan Negara yang dilihat sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik Covid-19.

Strategi terbabit merangkumi empat fasa dan akan membabitkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

- Advertisement -

Menurutnya, setiap fasa pelan pemulihan itu berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

Katanya, tiga indikator adalah keadaan penularan Covid-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

“Graf pada masa ini masih belum lancar, cuma turun iaitu pada sekitar 70,000 kes aktif dan kalau kita tengok pola kes baharu bagi beberapa hari menunjukkan pola penurunan tapi masih lagi sekitar 4,000 ke 5,000. Jadi dalam konteks PKP yang sedang dilaksanakan pada kali ini, ia sangat berbeza dengan PKP 1.0.

“PKP 3.0 ini memfokus keutamaan kesihatan awam adalah untuk menyelamatkan kematian sebab kita perhatikan di sini ialah kes meningkat begitu mendadak sehingga melebihi 50,000 ke angka maksima 80,000.

“Manakala, angka kematian meningkat lebih daripada 50 dan mencapai tiga angka beberapa hari iaitu lebih daripada 100 orang.

“Keadaan ini amat membimbangkan dan dalam masa yang sama, ICU dan juga perkhidmatan kesihatan awam juga dalam keadaan yang begitu tertekan,” ujarnya ketika menjadi ahli panel dalam Program Ruang Bicara secara langsung di Facebook dan Youtube Bernama TV, malam tadi.

Tambah beliau, kepentingan untuk mengimbangi antara kelangsungan ekonomi dan kesihatan menjadi kayu ukur dalam pelan itu, yang mana melihat kepada kadar vaksinasi sedang berjalan ketika ini.

“Pada pandangan saya, kita perlu memilih antara ekonomi ataupun kesihatan, kita pilih yang mana satu, kalau kita nak memilih ekonomi, memang kesihatan akan terkorban, jadi dalam konteks itu, ini sebenarnya pelan pemulihan yang dibentangkan.

“Kita tidak boleh melihat kepada angka kes baharu semata-mata disebabkan kita ada vaksin, kita perlu lihat kepada kes aktif pada sistem kesihatan perkhidmatan awam kita yang telah menawarkan rawatan kepada pesakit Covid-19 dan sebaliknya. Maksudnya, entiti ini perlu diperhatikan di samping kadar yang menerima vaksin,” jelasnya.

Menurutnya, mana-mana syarikat yang mempunyai anggota pekerja lebih 50 peratus yang sudah divaksin seharusnya dibenarkan beroperasi tanpa menunggu fasa kedua.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menyampaikan perutusan khas Pelan Pemulihan Negara semalam memaklumkan, menerusi fasa kedua, aktiviti sosial dan kawalan pergerakan terus dikawal dengan ketat manakala aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80 peratus di premis.

Selain itu, Dr Malina turut berpandangan agar keutamaan vaksin juga perlu diberikan kepada golongan barisan hadapan ekonomi yang berpotensi besar untuk menularkan jangkitan Covid-19.

“Saya mencadangkan juga supaya keutamaan vaksin pada masa ini bukan hanya semata-mata kepada kumpulan rentan, maksudnya mereka dalam kalangan warga emas dan mempunyai masalah penyakit kronik.

“Kita berdepan dengan kes yang begitu aktif dan sebenarnya punca jangkitan kepada warga emas dan mereka ini juga perlu diutamakan dalam pemberian vaksin.

“Maksud saya dah tiba masanya golongan barisan hadapan ekonomi turut disamaratakan dengan golongan yang diberikan fasa kedua ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan peningkatan pemberian vaksin dalam tempoh jangka masa panjang bagi mencapai sasaran enam juta sebulan penerima vaksin.

“Saya berpendapat bahawa dalam konteks sekarang peningkatan vaksin itu sedang berjalan dengan begitu baik sekali jadi kita telah mencapai 200,000 sehari, insya-Allah dalam minggu ini dan minggu hadapan serta sasaran enam juta sebulan akan tercapai,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/6/2021

- Advertisement -