Pelan Pemulihan Negara untuk kemaslahatan bersama

Nasrudin Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam merupakan satu keyakinan kerajaan yang melihat negara ini di landasan betul menangani Covid-19.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan berkata, pelan tersebut yang memperincikan rancangan kerajaan secara berfasa diyakini mampu membawa keluar negara ini daripada  pelbagai kemelut akibat pandemik yang berlaku ketika ini.

Menurutnya, YADIM melihat usaha itu sebagai satu langkah yang perlu disokong oleh semua agar rakyat negara ini dapat kembali menjalani hidup sejahtera dan normal sebagaimana biasa.

- Advertisement -

“Sokongan yang dimaksudkan ialah dengan semua kita penghuni negara Malaysia tercinta dapat mematuhi SOP yang ditetapkan serta arahan-arahan semasa oleh pihak kerajaan sama ada daripada pihak KKM, MKN mahupun arahan langsung dari YAB Perdana Menteri,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, YADIM percaya semua langkah yang diambil kerajaan untuk menangani ancaman itu telah diteliti dan dibincangkan secara mendalam, lebih-lebih lagi apabila menyentuh tentang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, ia memang sukar sebagaimana  dimaklumkan Perdana Menteri, malah dari sudut ekonomi, Malaysia kehilangan RM1 bilion sehari sepanjang PKP dilaksanakan.

Namun, ujarnya semua pihak perlu berlapang dada, bersabar dan tidak berputus asa.

“Kesukaran ditempuh ketika ini adalah untuk kesejahteraan kita pada masa akan dating,” katanya lagi.

Tambah beliau, tindakan pencegahan dan kawalan pergerakan yang dilaksanakan pada masa kini sebetulnya direkodkan pernah berlaku dalam sejarah Islam.

Jelasnya, menurut catatan sejarawan terkemuka, Ibn al-Athir, pada 1048, penularan (pandemik) penyakit pernah melanda Makkah, Iraq, Palestin dan Sham.

Menurutnya lagi, Imam al-Zahabi dalam kitab Siyar A’lam al-Nubala’ meriwayatkan sekitar 1055, peristiwa itu menyebabkan masjid ditutup dan tidak didirikan solat berjamaah di masjid.

Nasrudin berkata, dalam usaha memelihara nyawa, seperti membendung penularan pandemik Covid-19, keputusan dan tindakan menguatkuasakan PKP adalah merupakan pengaplikasian prinsip Maqasid Syariah oleh kerajaan.

Sewajarnya, ujar beliau usaha ini disokong oleh semua pihak, sehingga tiada yang menangguk di air keruh dan mahu mengambil kesempatan di saat negara dan rakyat dilanda musibah.

“Selayaknya kita semua bersama kerajaan membendung penularan wabak ini untuk kemaslahatan bersama. 

Percayalah, dalam setiap kesukaran yang kita alami itu, pasti ada kesenangan atau kemudahan selama mana kita terus komited dengan langkah ikhtiari dan bertawakkal kepada Allah SWT.

“Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung dengan-Mu dari penyakit atau wabak yang menular ini. Peliharalah kami dengan rahmat-Mu, ya Allah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/6/2021

- Advertisement -