Malaysia akan kembali bebas beraktiviti Okt

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Negeri Sembilan yakin Malaysia akan kembali bebas melakukan aktiviti luar rumah, Oktober tahun ini, kata Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS negeri itu, Badzli Bakar.

Menurutnya, walaupun Malaysia masih jauh untuk mencapai angka 80 peratus vaksinasi dan untuk proses imuniti kelompok, tetapi pihaknya yakin melalui pelan strategik yang dibentangkan, Malaysia bakal mencapai imuniti kelompok Oktober ini.

Katanya, perkara itu boleh dilihat melalui stadium di Eropah yang mula dipenuhi dengan penonton untuk menyaksikan secara langsung EuroCup 2020.

“Kesemua negara di Eropah telah mencapai 50 peratus vaksinasi seluruh negara mereka.

“Dengan 50 peratus ini mereka telah mencapai satu bentuk imuniti kelompok separa yang membolehkan mereka bergerak normal dan bebas melakukan aktiviti harian.

“Insya-Allah, kita yakin boleh mencapai 50 peratus vaksinasi di Malaysia sebelum Ogos 2021. Ianya tidak mustahil dengan kerjasama seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Beliau pada masa sama turut menasihati orang ramai yang belum mendaftarkan diri mendapatkan vaksin atau menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mula melakukan hal ini melalui aplikasi MySejahtera.

“Jangan ragu, para Mufti dan agamawan kita telah memberi penjelasan yang tuntas akan keharusan mengambil vaksin ini.

“Pakar-pakar kesihatan juga telah melakukan sebaik mungkin untuk memberi pemahaman kepada kita.

“Begitu juga para pemimpin telah menjadi tauladan kepada kita dengan mengambil vaksinasi ini,” katanya.

Tambahnya, sekiranya ada yang masih meragui mengenai pengambilan vaksin Covid-19, beliau mencadangkan mereka mendapatkan penjelasan secara langsung melalui laman-laman rasmi yang berautoriti atau fasiliti kesihatan terdekat.

“Tanya pada ahlinya sepertimana saranan Allah SWT di dalam Al-Quran Surah An-Nahl ayat 43 yang bermaksud ‘Dan Kami tidak mengutus sebelum engkau (Muhammad), melainkan orang laki-laki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui, Islam ini ada disiplinnya’.

“Rujukan kita adalah Al-Quran, hadith serta Ijma’ para a’lim Ulama. Siapa kita untuk berijtihad? Jangan kita berijtihad sendirian dalam hal kemasyarakatan ini, ia boleh mencampakkan kita dalam kebinasaan,” katanya lagi.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin telah menggariskan empat fasa melibatkan pelan peralihan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Setiap fasa berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama atau ‘threshold’ untuk beralih dari satu fasa ke fasa berikutnya.

Mengulas hal itu, kata Badzli, Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan sangat bersetuju dengan cadangan yang dibuat oleh kerajaan.

Tambah beliau, pihaknya yakin Malaysia akan mencapai sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan dan akan turut serta menjayakannya. – HARAKAHDAILY 16/6/2021

- Advertisement -