Jenazah mangsa Covid-19 perlu dikebumi segera

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
Pandemik Covid-19 bukan sahaja menuntut pengorbanan petugas barisan hadapan, malah penggali kubur juga perlu bertindak cepat memandangkan mayat mangsa wabak itu perlu dikebumikan segera.

Biarpun turut terdedah kepada bahaya virus yang tidak nampak itu namun mereka terpaksa memikul tanggungjawab diamanahkan.

Seorang penggali kubur Baseri Hussin, 67, berkata, kubur mangsa Covid-19 perlu digali dan disiapkan segera kerana mayat mereka perlu dikebumikan dalam masa singkat.

- Advertisement -

“Kena cepat dan pulun bagi siap cepat, mayat mereka (mangsa Covid-19) tidak boleh menunggu lama.

“Setakat ini lima jenazah mangsa pesakit Covid-19 dikebumi di perkuburan ini,” katanya yang sudah 30 tahun menggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Guar Sanji.

Beliau yang juga pesara tentera ketika ditemui hari ini berkata, pengkebumian mangsa Covid-19 berbeza dengan jenazah lain di mana anggota keluarga tidak boleh terlibat sama.

Seorang lagi penggali, Rashidi Saad, 51 berkata perasaan takut dijangkiti virus tetap ada, namun tanggungjawab perlu dipikul bagi memudahkan urusan pihak hospital menguruskan jenazah mangsa.

“Apabila kita memudahkan urusan orang lain, InsyaAllah Tuhan juga memudahkan urusan kita,” ujarnya lagi yang mempunyai pengalaman 28 tahun sebagai penggali kubur.

Ahli Jawatankuasa Pasukan Penggali Kubur Tanah Perkuburan Islam Guar Sanji, Saifullah Abi Jamrah, 36 turut sedih ada penduduk tempatan meninggal dunia akibat dari virus tersebut.

“Sedih juga kehilangan mereka, ada yang meninggal merupakan penduduk di sini, ada juga yang meninggal di negeri lain tetapi mereka asal di sini.

“Jadi pihak hospital mengkebumikan mereka di sini,” katanya yang berasal dari Kampung Guar Sanji, Arau.

Beliau turut menasihat orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika menjalani urusan di luar rumah.

Apa yang pasti, ujarnya Covid-19 bukan ‘cerita tipu-tipu’ dan ajal maut berada di hadapan kita.

“Kita hendaklah sama-sama melandaikan lekuk graf Covid-19 dan kita mampu lakukannya sekali lagi sebelum kita menang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/6/2021

- Advertisement -