Isu PSR: Apa sebenarnya?

PSR
- Advertisement -

PENANG South Island (PSI) atau lebih dikenali Projek Penang South Reclamation (PSR) akan menjejaskan seramai 4,211 nelayan Zon A di Pulau Pinang. Untuk makluman semua, seluruh nelayan yang berdaftar di Negeri Pulau Pinang boleh menjalankan aktiviti penangkapan ikan di seluruh perairan Negeri Pulau Pinang.

Sewaktu taklimat tadi, saya difahamkan sebanyak 87 spesies ikan menghadapi risiko ancaman akibat projek ini. Antaranya ialah bawal putih, bawal tambak, udang kaki merah, udang harimau dan udang putih. Dan spesies inilah yang sebenarnya mendatangkan pulangan lumayan kepada nelayan.

- Advertisement -

Hasil pendaratan perikanan daripada kawasan cadangan PSR antaranya Batu Maung, Teluk Tempoyak, Sungai Batu, Teluk Kumbar, Permatang Damar Laut (yang juga akan terkesan) dan Gertak Sanggul pula adalah sebanyak 13,418.11 tan / setahun atau 24.5 peratus dari keseluruhan hasil pendaratan Negeri Pulau Pinang. Saya juga telah meneliti semua maklum balas Ketua Menteri terhadap komentar saya, khususnya Ketua Menteri menyatakan beliau akan menyediakan laluan kepada nelayan ke laut terjamin. Sesungguhpun itu, kehilangan punca rezeki nelayan kita takkan terbayar dengan apa-apa nilai pampasan atau ex-gratia Kerajaan Negeri. Kehidupan nelayan dan keluarga bakal terjejas dan menanggung akibat penerusan projek malapetaka ini.

Pada tahun 2019, YB Dato’ Salahuddin Ayub, Menteri Pertanian dan Asas Tani (MOA) dalam satu kenyataan di Parlimen telah menyarankan kepada Kerajaan Negeri untuk menjalankan dua kajian iaitu: “Ontogenetic Migration of Peanaus Merguiensis and Metapenaeus Ensis“, iaitu udang putih, and “The Impact of Dredging and Reclamation of PSR of The Two Prawns Population and Their Fisheries, one year cycle complete“; dan “Noise Population Impact on Fish Due to Dredging and Reclamation of PSR“.

Saya juga difahamkan, kajian noise pollution baru sahaja bermula di mana lokasi persampelan dikenalpasti, manakala kajian bagi migrasi udang, masih belum dilaksanakan. Persoalannya, mengapa PSR hendak diteruskan sedangkan perkara mitigasi penting ini belum diselesaikan?

Habitat semulajadi dan kekayaan biodiversiti akan terjejas teruk sekiranya projek ini bermula. Kebobrokan akibat PSR meliputi:

a. Kawasan pantai berlumpur (mudflat) yang merupakan kawasan pembiakan ikan semulajadi akan hilang sepenuhnya.

b. Kawasan aktiviti penangkapan ikan – kehilangan separa.

c. Tempat pendaratan penyu – kehilangan sepenuhnya (total trade-off)

d. Terumbu karang Pulau Rimau – kehilangan separa (partial trade-off)

 e. Kawasan sumber pemakanan untuk mamalia marin seperti ikan lumba-lumba – kehilangan separa.

Ini kerana, kemusnahan kekal yang berlaku ke atas ekosistem dataran lumpur (mudflat) dan sebahagian terumbu karang di Pulau Rimau merupakan ekosistem penting pada perikanan. Semua kawasan yang akan ditambak, terutamanya kawasan yang berkedalaman 1 hingga 2 meter semasa air surut penuh, merupakan kawasan sensitif perikanan yang berperanan sebagai kawasan pembiakan, ‘feeding ground’ dan laluan migrasi utama bagi Udang Putih Besar dan Udang Sua Lor.

Kebimbangan besar juga timbul apabila sumber pasir dan batu agregat untuk projek PSR ini dianggarkan sebanyak 189.1 juta meter padu (m3) yang akan melibatkan kawasan pasir nelayan berdekatan seperti di Mukah Head. Aktiviti ini merupakan salah satu punca utama kemerosotan sumber perikanan serantau seperti yang dilaporkan dalam The Southeast Asian State of Fisheries and Aquaculture (SEASOFIA) 2012.

Lebih menghairankan, Ketua Menteri Penang menyatakan sumbangan sumber perikanan dari kawasan berkenaan hanya sekecil 0.2 peratus kepada perikanan negara. Beliau sebagai Ketua Kerajaan Negeri sapatutnya bertanggungjawab untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha menambahbaik sumber perikanan serta meningkatkan Iagi pendaratan di kawasan tersebut. Secara tidak langsung inisiatif ini dapat menaikkan Iagi SSL ikan negara dan memperkukuh sekuriti makanan negara. Untuk makluman, Pulau Pinang memberi peningkatan sumbangan sebanyak 5 peratus pada tahun 2019-2020, iaitu dari 51,695 tm kepada 56,849 tm.

Setelah meneliti semua maklumat berkaitan projek PSR ini, sekali Iagi saya tertanya apakah tujuan sebenar projek ini ketikamana umum mengetahui bahawa majoriti nelayan dan penduduk setempat yang terjejas ialah daripada kalangan orang Melayu?

Justeru saya ingin menegaskan bahawa ‘the best form of mitigation is by way of cancellation’.

DATO CHE ABDULLAH MAT NAWI
Ahli Parlimen Tumpat
16 Jun 2021 – HARAKAHDAILY 16/6/2021

- Advertisement -