Che Abdullah tinjau pemasaran, serah ikan segar

- Advertisement -

BAYAN LEPAS: Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi melakukan tinjauan aktiviti bekalan makanan, pendaratan ikan dan rantaian pemasaran ikan di Pelabuan LKIM Batu Maung, di sini hari ini.

Turut serta dalam tinjauan ini, Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr. Hajah Norlela Ariffin, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri, Noraishah Abu Bakar, mewakili Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri, Hamid Rais dan Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang, Mahadi Md Rodzi.

Menerusi tinjauan yang dilakukan, Che Abdullah memberitahu bahawa bekalan ikan adalah mencukupi terutama di Pulau Pinang.

- Advertisement -

Pendaratan ikan di kompleks dan jeti LKIM di seluruh negeri Pulau Pinang bagi tempoh Januari sehingga Mei 2021 berjumlah 15,776.74 tan metrik dengan nilai sebanyak RM53.5 juta.

Pendaratan ikan di Kompleks LKIM Batu Maung pada bagi tempoh yang sama ialah sebanyak 2,883.13 tan metrik dengan nilai RM20.5 juta manakala bagi pendaratan ikan di seluruh Malaysia pula pula sebanyak 41,364.82 tan metrik dengan nilai sebanyak RM164 juta juga pada tempoh yang sama.

Selain tinjauan itu, turut diserahkan sumbangan ikan segar sebanyak 2,550 kilogram ikan kembung, tilapia dan ikan segar beku QFISH yang dianggarkan berjumlah RM36,000.

Penyerahan sumbangan dibuat kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Bayan Lepas dengan dikerjasama Pusat Operasi Khidmat ADUN (POKA) Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan diagihkan kepada penduduk di sekitar 13 lokaliti Bayan Lepas, Mukim 12 dan daerah barat daya yang terlibat dengan PKPD bermula dari 4 sehingga 17 Jun.

Menurut Che Abdullah, bekalan ikan segar itu disumbangkan oleh empat Persatuan Nelayan Kawasan dan Unit Nelayan Kawasan Teluk Kumbar.

Bekalan ikan selama empat hari berturut-turut bermula 14 sehingga 17 Jun.

Sumbangan juga diberikan kepada petugas barisan hadapan sebagai menghargai pengorbanan mereka yang bertungkus lumus membantu mengekang penularan Covid-19.

Lokasi serahan di Klinik Kesihatan Bayan Lepas, IPD Barat Daya, IPD Timur Laut, IPD Seberang Perai Utara (SPU), IPD Seberang Perai Tengah (SPT) dan IPD Seberang Perai Selatan (SPS).

“Program ini dilaksanakan bagi menunjukkan keprihatinan dan tangunggjawab sosial korporat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Negeri Pulau Pinang bersama-sama Persatuan Nelayan Kawasan (PNK), Unit Nelayan Kawasan Teluk Kumbar dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi membantu meringankan beban mereka yang terkesan dengan penguatkuasaan PKP 3.0 termasuk petugas barisan hadapan,” katanya.

Menurutnya lagi, inisiatif itu juga diambil sebagai menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kakitangan LKIM Negeri Pulau Pinang yang turut sama menyumbang tenaga dari segi mendapatkan bekalan ikan segar, pembungkusan dan juga pengangkutan.

“Diharap sumbangan yang diberikan sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan ekonomi dan memberi kemudahan kepada penduduk yang terkesan dengan PKPD serta petugas barisan hadapan untuk mendapatkan bekalan makanan dan sumber protein yang secukupnya,” ujarnya.

Dalam tinjauan itu juga, beliau turut melawat sekitar pelabuhan dan kompleks Lembaga kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) selain meninjau aktiviti pendaratan ikan.

Antara komponen yang terdapat di Pelabuhan LKIM Batu Maung adalah bangunan hotel dan Restoran Pen Mutiara yang diuruskan oleh Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang, Bangunan TCO, Kastam, Makmal Unit Kawalselia Pendaratan Ikan, Pejabat LKIM Negeri Pulau Pinang, Surau, Pejabat Pelabuhan, Jeti Pendaratan, Dewan pemetian (simpanan ikan), ruang pejabat peniaga (14 unit), Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Pulau Pinang Selatan, tapak 11 unit tangki Diesel bersubsidi (Milik PNK Pulau Pinang Selatan) dan Pejabat e-Pengisytiharan LKIM Batu Maung bagi kegunaan nelayan setempat.

LKIM sentiasa memainkan peranan yang penting dan berkesan sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi nelayan dengan penumpuan kepada peningkatan pendapatan dan memajukan perusahaan perikanan negara serta memastikan bekalan ikan mencukupi di seluruh negara terutama sewaktu pelaksanaan tempoh PKP total lockdown.

MAFI melalui LKIM juga komited melaksanakan tanggungjawab sosial untuk membantu kumpulan sasar seperti nelayan, dan juga petugas barisan hadapan frontliners dengan penyampaian bantuan dan sumbangan seperti ikan segar dan ikan segar beku QFISH kepada mereka yang memerlukan dan terjejas pendapatan kesan dari penularan pandemik Covid-19. – HARAKAHDAILY 16/6/2021

- Advertisement -