Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Objektif, maklamat dan justifikasi penambakan laut perlu jelas memandangkan tindakan itu sememangnya dijangka mencetuskan konflik keseimbangan alam sekitar.
Menurut Felo Kehormat, Institusi Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Dr Hezri Adnan, penambakan laut bukan perkara baharu, malah katanya, penambakan di persisiran Laut China Selatan berlaku sejak 70-an lagi dengan kira-kira keluasan empat buah Singapura.
Bagaimanapun menurutnya, kesemua objektif penambakan tersebut adalah jelas berbanding di Malaysia yang bersifat dramatik dan berfokuskan kepada pembinaan, dan pembangunan pelabuhan.
“Kenapa kita hendak tambak laut? Kalau dilihat dari perspektif keseimbangan alam sekitar, ekonomi, sosio-ekonomi, memang akan ada krisis atau konflik yang akan berlaku. Jadi, matlamat utamanya perlu jelas.
“Kalau semata-mata untuk urban development, untuk tourism development (tidak digalakkan), kalau kita lihat dalam Pelan Rancangan Fizikal Negara untuk kawasan pinggiran pantai pun tidak digalakkan sebenarnya.
“Walaupun proses untuk meluluskan PSR ini telah melalui Majlis Rancangan Fizikal Negara.
“Tetapi kita lihat, matlamat perlu jelas, ini adalah satu yang perlu diperhatikan dalam zaman di mana semua negara tengah bercakap tentang sustainable development,” ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan punca bekalan pasir yang akan diambil untuk membangunkan PSR yang menurutnya mempunyai keluasan 70,000 hingga 75,000 kolam renang bersaiz olimpik memandangkan pasir-pasir sungai tidak sesuai untuk digunakan.
Justeru itu, beliau percaya pasir yang akan digunakan adalah pasir persisir pantai di negeri-negeri sekitar yang akhirnya secara langsung menjejaskan nelayan persisir pantai di negeri-negeri lain, selain Pulau Pinang.
Beliau menambah, bukan sahaja laut berdepan kesan perlombongan pasir, bahkan sungai juga berdepan perkara sama seperti mana yang berlaku di Sungai Perak.
Beliau berkata demikian dalam satu wawancara Dialektika TV, berjudul Prolog: PSR, Pi Mai Pi Mai yang turut menampilkan Jurucakap Penang Tolak Tambak, Khoo Salma Nasution dan Ketua Nelayan Unit Sungai Batu, Zakaria Ismail, semalam.
Sementara itu, berkongsi berkenaan kronolgi sepanjang perancangan membangunkan PSR, Jurucakap Penang Tolak Tambak, Khoo Salma Nasution berkata, sebelum ini kerajaan negeri Pulau Pinang berhasrat untuk menjadikan PSR sebagai dana kepada Pelan Pengangkutan Induk Pulau PInang (PTMP).
Katanya, badan bukan kerajaan dan rakyat Pulau Pinang diumpan dengan alasan untuk menyelesaikan kesesakan trafik dan menaik taraf pengangkutan awam di negeri itu.
Namun, kedua-dua projek itu sudah tidak disebut secara bersama lagi dan tiada siapa tahu kaitan antara kedua-dua projek itu lagi. – HARAKAHDAILY 15/6/2021