Rentas negeri pada fasa keempat pemulihan negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua rakyat seboleh mungkin dapat kembali semula kepada norma kehidupan seharian pada fasa keempat Pelan Pemulihan Negara.

Beliau berkata, pada fasa itu semua sektor ekonomi akan dibuka, lebih banyak aktiviti sosial akan dibenarkan, perjalanan rentas negeri dibolehkan dan pelancongan domestik juga akan dibuka tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Menurutnya, fasa keempat sekiranya berjaya mencapai nilai ambang berikut, iaitu purata kes harian Covid-19 menurun ke paras bawah 500 kes, sistem kesihatan awam berada di paras selamat termasuk kadar penggunaan katil di ICU di paras mencukupi; dan 60 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.

- Advertisement -

“Berdasarkan unjuran pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, peralihan ini dijangka dapat dilaksanakan seawal akhir bulan Oktober 2021,” ujarnya semasa mengumumkan Pelan Pemulihan Negara: Peralihan Fasa PKP secara berperingkat yang disiarkan secara langsung di stesen-stesen televisyen petang tadi.

Beliau menambah, fasa itu dapat dilaksanakan apabila bilangan kes Covid -19 adalah rendah, sistem kesihatan awam di tahap selamat dan program vaksinasi telah mencapai tahap imuniti berkelompok atau herd immunity selewat-lewatnya pada akhir tahun ini.

“Pelan ini juga merupakan pelan yang dinamik di mana sekiranya kita berjaya dalam tiga indikator utama pada mana-mana fasa, Kerajaan boleh terus mengambil keputusan untuk bergerak ke fasa seterusnya.

“Kesemua SOP bagi fasa-fasa yang saya sebutkan tadi akan diperincikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), dan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Muhyiddin juga memberitahu beliau menerima permintaan supaya acara-acara sukan seperti perlawanan bola sepak dengan kehadiran penonton di stadium dibenarkan, majlis-majlis sosial diadakan dan yang paling banyak saya terima ialah rayuan untuk balik ke kampung untuk menziarahi ibu bapa, sanak saudara dan ahli keluarga tersayang.

“Sabar dulu. Pada masa ini perkara-perkara ini masih tak dapat kita lakukan. Kita mesti utamakan usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dahulu.

“Insya-Allah, apabila kita telah mencapai imuniti kelompok pada fasa keempat, perkara-perkara ini dapat kita lakukan secara berperingkat dengan pematuhan kepada SOP yang ketat.

“Kejayaan kita mencapai imuniti kelompok pula bergantung kepada berapa ramai rakyat negara ini dapat menerima suntikan vaksin,” katanya.

Menurutnya, setakat ini lebih 4.5 juta dos suntikan telah berjaya diberikan kepada rakyat Malaysia di mana 3.2 juta telah menerima dos pertama dan 1.4 juta telah lengkap menerima dua dos vaksin.

“Insya-Allah selepas ini lebih ramai rakyat akan mendapat temujanji suntikan vaksin dan berpeluang menerima dos pertama setelah lebih banyak bekalan vaksin diterima mulai bulan ini,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 15/6/2021

- Advertisement -