Program imunisasi kunci tangani krisis kesihatan, ekonomi

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan kerajaan bermula awal tahun ini satu-satunya kunci penyelesaian terhadap pemulihan krisis kesihatan dan ekonomi negara.

Pengerusi Dewan Peniagaan Cina Kelantan (DPCK), Yap Heng Or berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan berdasarkan unjuran, pelaksanaan program itu dijangka selesai menjelang enam bulan akan datang.

Menurut beliau, dengan mengambil kira perkembangan semasa negara di dunia yang menunjukkan perkembangan ekonomi mereka terus berlaku selepas pelaksanaan imunisasi kepada rakyatnya dalam skala besar.

- Advertisement -

“Kita rasa penyelesaiannya ialah vaksin, seperti vaksin dalam tempoh tiga bulan ini, dalam tempoh ini cash flow kena jaga.

“Benda ini sangat mustahak, seperti kepentingan oksigen kepada kehidupan di dunia ini.

“Sekarang apa yang boleh buat ialah jaga cash flow buat kita boleh bertahan dalam tempoh ini, jadi kita kena bincang dengan pihak bank, pembekal atau penyewa untuk bincang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada siaran langsung di Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri (UPKN) melalui laman sosial Facebook dan YouTube Kelantan TV semalam.

Forum yang dipengerusikan Pegawai Perhubungan Awam UPKB Azimi Mahmood, turut menampilkan Setiausaha DPCK, Wong Kian Meng.

Kian Meng pula berkata, sekarang merupakan peluang untuk memperbaiki kelemahan dalam perniagaan.

Katanya juga kerajaan banyak menyalurkan bantuan prihatin bagi membantu peniaga kecil dan sederhana yang terjejas dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun sekarang kata beliau bantuan tersebut semakin berkurangan selepas tiga kali PKP.

“PKP pertama dahulu banyak sumbangan kerajaan, tetapi kebelakangan ini oleh kerana banyak kali PKP, memang kerajaan, kita pun faham.

“Tahun ini semua peniaga sekurang-kurangnya 70 peratus tertekan, ada yang mengambil keputusan tutup sementara perniagaan mereka, ada juga tutup selama-lamanya, perkerja juga risau diberhentikan,” katanya.

Kajian Selidik Kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada isi rumah dan perniagaan oleh Kementerian Kewangan Malaysia sebelum ini, menggugat mata pencarian 2.8 juta rakyat yang bekerja sendiri atau mengambil upah harian.

Satu pertiga isi rumah tidak mampu untuk mengekalkan perbelanjaan lebih daripada sebulan, 82 peratus pekerja sektor swasta hanya mempunyai simpanan kurang daripada dua bulan, 68 peratus perniagaan melaporkan tiada jualan. – HARAKAHDAILY 15/6/2021

- Advertisement -